INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 dengan merekodkan 979 kes baharu menjadikan jumlah kes 35,295 manakala 41 lagi kematian menjadikan 2,000 kes.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 14,052 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.
Bagi tempoh yang sama, Jawa Timur mencatatkan 297 kes positif baharu dan 23 kematian sekaligus menjadi wilayah tertinggi kes kematian dengan jumlah 553 orang.
Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi iaitu 537 kes, diikuti Jawa Barat (161), Jawa Tengah (104) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain.
LAOS mengisytiharkan berjaya memerangi wabak Covid-19 selepas semua 19 pesakit dibenarkan keluar hospital dan tiada kes baharu dilaporkan selama 59 hari berturut-turut. Pesakit terakhir keluar hospital pada Selasa (9 Jun).
Perdana Menteri Thongloun Sisoulith berkata kejayaan itu hasil kerjasama semua pihak termasuk rakyat yang melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan penuh tanggungjawab.
Faktor lain yang turut menyumbang kepada kemenangan itu, termasuk langkah pencegahan awal, keutamaan memerangi pandemik oleh kepemimpinan negara serta sokongan dan bantuan semua sektor.
Kerajaan akan terus memantau keadaan dan mengkaji langkah-langkah pencegahan serta kawalan bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan operasi perniagaan dibuka semula secara bertahap.
THAILAND mencatatkan sifar kes baharu serta tiada kematian akibat wabak iCovid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kekal pada 3,125 kes dengan 58 kematian.
Ini adalah hari ke-17 tiada penularan tempatan di negara itu.
Pembantu Jurucakap Pusat Pentadbiran Keadaan Covid-19 (CSSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata setakat ini, seramai 2,987 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 80 pesakit masih dirawat di wad.
Daripada 3,125 kes Covid-19 di negara ini, sebanyak 2,444 kes adalah penularan tempatan dan 681 kes import.
FILIPINA sehingga pukul 4 petang ini, 11 Jun 2020, melaporkan 443 kes iaitu 253 kes terkini dan 190 kes lewat lapor menjadikan jumlah kes terkumpul 24,175.
Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan, sembilan kematian juga direkodkan dengan jumlah kes meningkat kepada 1,036.
Bagi tempoh yang sama, DOH juga mengumumkan 270 kes pemulihan menjadikan jumlah sembuh 5,165 kes.
SINGAPURA mencatatkan 442 kes baharu jangkitan Covid-19 sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 39,387 kes.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), sebahagian besar kes adalah pemegang Permit Kerja yang menginap di asrama dan berdasarkan siasatan, terdapat lima kes dalam masyarakat, melibatkan warga Singapura dan empat pemegang Pas Kerja.
Setakat ini, seramai 26,523 pesakit telah pulih sepenuhnya, membentuk 68 peratus pesakit manakala sehingga malam tadi, 223 masih dirawat termasuk tiga di unit jagaan rapi.Seramai 25 orang terkorban akibat komplikasi Covid-19, sementara sembilan yang diuji positif meninggal dunia atas sebab lain.
BRUNEI DARUSSALAM terus mengekalkan kes sifar jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kes kekal 141 orang dengan dua kematian, dan 138 sembuh.
Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md. Isham Jaafar berkata, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.
Sebanyak 88 sedang dikuarantin manakala 2,735 orang tamat kuarantin.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu juga, sebanyak 415 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal sejak Januari 2020 kepada 23,708 ujian.