KUALA LUMPUR 3 Dis. – Tiga anggota jemaah menteri mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua bagi menyambung perkhidmatan mereka dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Upacara mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pelantikan semula mereka yang kali pertama mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada 3 Disember 2022, berkuat kuasa hari ini sehingga 2 Disember 2028.
Sementara itu, dalam ucapannya, Awang Bemee berharap ketiga-tiga Senator itu dapat menjalankan tugas dengan berkaliber jika terus diberikan amanah dalam pentadbiran kerajaan.
“Bagi pihak Dewan yang mulia ini, tahniah kepada tiga Senator yang kembali ke Dewan Negara dan selamat berkhidmat semula.
“Jika terus diberikan amanah dalam pentadbiran, maka jalankan tugas dengan berkaliber dan memantapkan peranan Senator dalam Dewan ini,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, pelantikan berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 2 Disember 2028 selaras Perkara 45(3) dan 45(3A).
Nnnnnn
