Siasat ‘jenayah perang’ Israel di Syria

DAMSYIK – Amnesty International menggesa siasatan ‘jenayah perang’ dijalankan terhadap tentera Israel yang bertindak memusnahkan rumah penduduk awam di selatan Syria sejak kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad.

Menurut kumpulan hak asasi manusia itu, pemusnahan sengaja rumah penduduk oleh tentera Israel di wilayah Quneitra, selatan Syria sejak Disember 2024 tanpa sebarang keperluan ketenteraan mutlak, perlu disiasat sebagai jenayah perang.

“Israel mempunyai tanggungjawab untuk membayar pampasan terhadap pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini,” kata Amnesty dalam satu kenyataan.

Israel menggerakkan tenteranya ke zon bebas tentera yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Dataran Tinggi Golan Syria yang diduduki Israel selepas Assad digulingkan kumpulan Islamis yang dianggapnya sebagai jihad.

Israel turut melancarkan ratusan serangan ke atas Syria dan melakukan pencerobohan secara berkala di wilayah selatan negara itu, selain menuntut kawasan berkenaan dijadikan zon bebas tentera.

Amnesty berkata, pada hari kejatuhan Assad, tentera Israel memasuki tiga kampung dan bandar di zon bebas tentera PBB di wilayah Quneitra dengan melakukan serbuan rumah serta mengarahkan penduduk meninggalkan kawasan itu.

Dalam tempoh enam bulan berikutnya, tentera Israel memusnahkan atau merosakkan sekurang-kurangnya 23 struktur awam di tiga kampung.

Kumpulan hak asasi itu berkata, ia menggunakan imej satelit bagi mengesahkan kerosakan dan kemusnahan terhadap 23 struktur di kampung terbabit.

Timbalan Pengarah Serantau Amnesty bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Kristine Beckerle, berkata, keselamatan sempadan Israel tidak boleh dijadikan alasan untuk meroboh dan meletupkan rumah serta kampung penduduk di wilayah negara lain.

Operasi Israel di selatan Syria diteruskan walaupun pihak berkuasa Islamis baharu di Damsyik mengadakan rundingan dengan pegawai Israel sejak beberapa bulan lalu ke arah mencapai perjanjian keselamatan selepas berdekad permusuhan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment