MIC diminta lebih rasional

SANDAKAN 19 Nov. – Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, meminta MIC lebih rasional dan tidak mengambil keputusan yang merugikan rakyat hanya kerana tawaran pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau mengajak MIC untuk sama-sama bangkit ketika sama-sama susah dan tidak melupakan persahabatan yang sudah lama terjalin sejak dari awal penubuhan Perikatan dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, cadangan Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, untuk mengadakan perjumpaan dengan pemimpin MIC adalah wajar tetapi sudah banyak kali pertemuan dibuat untuk membincangkan masa depan parti itu dalam BN.

Malah, beliau berkata, segala usaha juga sudah diambil atas permintaan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk memujuk MIC agar terus kekal dalam gabungan berkenaan kerana parti komponen itu sudah bersama BN sejak sekian lama.

“Kita sudah bersahabat sejak dari awal. Kita berharap mereka tidak melupakan persahabatan yang sudah lama terjalin,” katanya kepada pemberita pada Ceramah Perdana di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni, di sini, hari ini.

Semalam, Mohamad berkata, pihaknya akan mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, mengenai masa depan parti komponen itu dalam BN.

Timbalan Presiden UMNO itu yakin pimpinan MIC akan membuat pertimbangan sebaik mungkin terhadap resolusi yang diluluskan pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79 supaya pemimpin mereka memutuskan sama ada keluar BN dan membentuk jajaran baharu bersama Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau menghormati sepenuhnya segala keputusan yang dibuat perwakilan dan kepimpinan MIC pada Perhimpunan Agung parti itu.

Presiden UMNO itu berkata, beliau mengikuti rapat perbahasan dalam perhimpunan MIC dan menganggap apa juga keputusan yang dicapai adalah hak dan autonomi MIC sebagai sebuah parti komponen dalam BN.

“Saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan kepimpinan MIC dan saya tidak berhajat untuk mencampuri hal ehwal dalaman mereka.

Apa juga keputusan yang akan dibuat oleh mereka, kita menerimanya dengan lapang dada dan hati terbuka,” katanya selepas menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Cina Global (GCET 2025), di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ditanya mengenai saranan Timbalan Pengerusi BN, yang mahu mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC untuk perbincangan, Ahmad Zahid menyifatkan langkah berkenaan sebagai pendekatan terbaik.

Itu (perbincangan) adalah satu pendekatan yang baik. Dan apa pun keputusan yang akan dibuat, terserah kepada parti berkenaan,” katanya.

Ahad lalu, Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presidennya,  M Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.

Pada hari sama, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dipetik sebagai berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Vigneswan juga berkata MIC kekal memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mandat beliau berakhir, tanpa mengira apa jua keputusan politik yang bakal diputuskan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment