HAMILTON (Kanada): Rakyat Palestin di Gaza berdepan situasi kemanusiaan yang semakin merosot apabila hujan musim sejuk menyebabkan banjir, memusnahkan barangan serta meningkatkan tekanan dalam keluarga yang hilang tempat tinggal.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kekecewaan rakyat semakin meningkat apabila banjir memusnahkan apa sahaja yang tinggal pada mereka.
“Rakyat Palestin di seluruh Gaza kini berada dalam keadaan sejuk dan basah kuyup berikutan hujan baru-baru ini, kata Jurucakap Farhan Haq memetik kenyataan ketua bantuan PBB, Tom Fletcher.
Haq berkata beliau (Fletcher) menegaskan bahawa PBB dan rakan-rakannya sedang digerakkan untuk membantu, namun bantuan yang jauh lebih besar amat diperlukan.
Justeru Fletcher berkata sekatan yang masih dikenakan perlu ditarik balik bagi membolehkan lebih banyak bantuan masuk dengan segera.
Menurut beliau lagi, memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), PBB dan rakan kerjasama di lapangan “komited untuk menyediakan bantuan menyelamatkan nyawa, termasuk tempat perlindungan.”
Katanya , para petugas emanusiaan terus mengagihkan khemah, terpal dan barangan keperluan lain kepada keluarga yang terjejas, selain menilai keperluan orang ramai.
Nnn
