APA khabar Pak Leman (bukan nama sebenar) yang saban malam dipimpin isterinya yang celik ‘merayap’ ke sana ke sini ke sana ke sini ‘menjual’ tisu? Apa khabar Mak cik Tipah (bukan nama sebenar) yang setiap malam ke pasar malam di sana di sini menyanyi diiringi muzik mengharapkan sumbangan belas ihsan pengunjung?
Itu cara mereka (OKU – orang kurang upaya) dan rakan-rakan senasib mencari rezeki. Bukan meminta-minta tetapi mohon simpati. Sekarang, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka terpaksa duduk di rumah. Rezeki entah bagaimana. Tidak boleh keluar cari duit. Tidak ada tempat tumpuan ramai yang mereka boleh mencari rezeki.
Bukan setakat golongan OKU tetapi juga manusia normal yang saban hari ‘merayap’ ke merata tempat termasuk kedai, restoran dan pasar malam. Ada yang jual keropok, kerepek, kuih, jeruk dan macam-macam lagi untuk mencari rezeki sama ada sebagai pendapatan tetap atau menambah pendapatan.
Entah apa nasib mereka sekarang ini setelah lebih tiga minggu di rumah lebih-lebih lagi yang tidak tahu memohon bantuan atau mengharapkan pertolongan orang. Mereka ini lebih bersedia mencari rezeki sendiri, biarpun sekadar kais pagi makan petang, kais petang makan malam dan kais malam makan pagi.
Golongan seperti ini mungkin sebahagian kecil yang kita tahu rutin harian mereka adalah mencari rezeki di tempat-tempat tumpuan awam. Di mana ada peluang dan kesempatan, di situ mereka mencari wang untuk hidup.
Dalam isu berkaitan, kelmarin (mungkin sudah lama tetapi saya baru terima), tular video mengenai budak-budak yang ditegur polis kerana berkeliaran di luar rumah.
Tersentuh hati melihat anak-anak yang menangis dan merayu supaya polis tidak membawa mereka ke lokap. Begitulah ragam budak-budak, tak kisah di mana mereka berada. Kalau di bandar yang terperap terutama di flat lagi rimas. Di kampung suasananya berbeza, ada kawasan lebih luas untuk bergerak.
Kebun atau hutan di belakang rumah pun jadi tempat lepak. Paling tidak bersihkan kawasan. Kalau ada sawah bendang atau sungai lagi meriah. Kalau anak-anak tidak dikawal habis satu kampung diterokanya. Namun video yang tular itu menunjukkan salah seorang daripada mereka menjual kentang. Yang lain tu mungkin teman.
Kanak-kanak itu tahu PKP. Esok sepatutnya tamat tetapi disambung lagi. Budak-budak biasanya bebas merayau di kampung jika tidak bersekolah. Di bandar, ada yang dewasa masih degil malah sanggup maki polis apabila ditahan. Orang dewasa lebih berani mencabar polis berbanding budak-budak yang merayu ‘dibebaskan’.
Anggota polis itu nampaknya bergurau atau gempar. Budak-budak ini kalau mahu dirotan atas tapak tangan akan menyerah asal bukan ke lokap. Lainlah bagi orang dewasa , paling kurang tengking dan maki polis. Sebab mereka ini ada duit boleh bayar denda dan boleh duduk lokap. Budak-budak tu tidak ada duit, tidak sanggup duduk lokap walaupun itu tidak akan berlaku.
Tidak pasti apa kesudahan cerita budak-budak ini. Apa pun, terima kasih kepada anggota polis yang membeli semua jualan itu. Jumlahnya tidak seberapa tetapi nilai itu amat besar kepada keluarga budak-budak itu. Siapa pun budak-budak ini, mereka membawa mesej bahawa dalam keadaan sukar ini masih ada keluarga yang perlu disantuni.
Mengesan golongan yang kelaparan ini bukan seperti menggerakkan bantuan musim banjir kerana ketika itu orang ramai bebas bergerak ke sana sini dan tertumpu di satu-satu kawasan, bukan menyeluruh. Tetapi PKP ini, komunikasi dianggap terputus kecuali yang ada telefon bimbit. Tidak boleh bergerak bebas untuk mencari mereka yang ‘lapar’
Tidak semua akan mendapat bantuan jika mereka yang terpencil atau malu meminta bantuan terperap di rumah. Golongan ini adalah yang makan jika mereka bekerja. Mereka tidak berpendapatan tetap, tidak ada pencen atau simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bukan pembayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Tindakan pelbagai pihak mencari orang yang perlu mendapatkan bantuan diharap dapat mengesan golongan terpencil ini. Bantuan kerajan tidak mungkin sampai dengan kadar segera. Kena tunggu, itu pun tidak semua yang akan merasainya kerana pelbagai faktor termasuk nama tidak tersenarai.
Pengalaman hari ini menunjukkan data penduduk setempat amat penting. Menjadi tanggungjawab masyarakat terutama pemimpin setempat mengenali kehidupan orang sekeliling mereka. Data ini akan membantu pihak berkenaan menggerakkan bantuan ketika ‘darurat’ seperti hari ini.
Semoga tidak ada dalam kalangan golongan ini yang terpaksa ikat perut dan kelaparan di rumah ketika kebanyakan orang melalui media sosial ghairah memaparkan pelbagai menu pagi, petang dan malam kerana masing-masing rajin memasak. Ingatlah ketika ada yang makan tiga empat kali sehari semasa PKP ini ada yang hanya makan apabila ada kerja.
Jika makan tidak ada wang, apa lagi mahu membeli penutup hidung dan mulut dan cecair pembasmi kuman. Semoga golongan ini tidak terabai.