MEMBAKUT 18 Nov. – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan yakin pimpinan tertinggi MIC akan membuat pertimbangan sebaik mungkin terhadap resolusi sama ada keluar BN dan membentuk jajaran baharu bersama Perikatan Nasional (PN) pada masa yang sesuai.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata pihaknya akan cuba mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC mengenai masa depan parti komponen itu dalam gabungan berkenaan, diharap dapat diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan berharap parti berkenaan tidak keluar BN.
“Saya yakin pimpinan tertinggi MIC akan memikirkan sebaik mungkin, sedalam-dalamnya kerana MIC parti yang bersama-sama dengan UMNO dan juga MCA semasa kita memerdekakan tanah air suatu ketika dahulu.
Hubungan baik antara MIC dan BN amat lama, kita amat rapat, jadi jika ada apa-apa perkara perlu dijelaskan atau salah faham yang perlu dijernihkan, elok kita bawa berunding bersama-sama.
“Ini supaya persahabatan yang telah lama terbina ini tidak terputus begitu sahaja kerana persahabatan penting dalam sesebuah keadaan. Kadang-kadang, cakap-cakap itu biasa, tapi sebagai pemimpin tertinggi, saya yakin presiden, timbalan presiden dan pimpinan tertinggi MIC lain mempunyai kewarasan amat baik dan memikirkan sebaik-baiknya keputusan yang bakal mereka ambil,” katanya.
Mohamad yang berharap MIC tidak meninggalkan BN berkata demikian pada sidang media selepas sesi ramah mesra dan sembang santai bersama penduduk Kampung Binsulok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut, di sini, hari ini
“Kita akan jumpa (pimpinan tertinggi MIC), saya sendiri akan berusaha untuk jumpa mereka agar kita dapat menyelesaikan segala kekusutan. Laut mana tidak bergelora, kita tunggulah dulu (sebab) laut bergelora, ombak tengah kuat, gelombang tengah besar, kita ‘berlabuh’ dulu di jeti. Kita baiki dulu ‘kapal’ kita, mana yang bocor kita tampal, mana yang tidak betul kita betulkan dan kita akan terus keluar nanti apabila gelora telah reda,” katanya.
Ahad lalu, Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presiden, M Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.
Presiden MIC, S A Vigneswaran dipetik berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Mengenai PRN Sabah, Mohamad berkata, BN masuk gelanggang sebagai ‘underdog’ kerana gabungan itu bukan kerajaan di peringkat negeri Sabah, sekali gus memerlukan jentera pilihan raya parti bekerja berkali ganda lebih kuat untuk menyaingi saingan lawan.
Katanya, walaupun dua calon BN yang bakal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut, berdepan dua calon parti ‘gergasi’, ia bukan halangan untuk gabungan itu menang.
“Kalau (jentera) kita diurus dengan baik, ‘gergasi’ boleh jatuh. Jangan kita rasa rendah diri atau rasa kecil kerana kita bersaing dengan gergasi’. ‘Gergasi’ tidak semestinya sentiasa berdiri tegap. Kita perlu mainkan peranan sebagai anai-anai, jika anai-anai bersatu, kita makan sikit-sikit supaya ‘gergasi’ boleh tumbang,” katanya.
DUN Bongawan menyaksikan saingan sembilan penjuru, manakala Membakut 10 penjuru.
Calon BN bagi kerusi DUN Bongawan, Mohamad Alamin bakal berdepan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Anifah Aman yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis sebagai calon GRS.
Wajah baharu BN untuk kerusi DUN Membakut, Rusman Dulamit pula akan berdepan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) dan penyandang kerusi, Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Mohamad menekankan kepentingan rakyat untuk memilih parti yang kuat dan rekod baik agar dapat menubuhkan sebuah kerajaan stabil khususnya dari segi politik.
Nnnn
