Integriti jantung operasi Andalusia

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Komitmen Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) terhadap integriti bukan lagi pilihan sebaliknya ia  tanggungjawab syarie dan profesional lebih-lebih lagi industri umrah dan haji kini berada dalam era yang sangat dinamik

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Ida Riswana Idris berkata, integriti bukan lagi sekadar nilai tetapi satu keperluan yang menentukan sama ada sebuah syarikat mampu bertahan dan terus dipercayai.

Beliau berkata, industri kini berada dalam persaingan sengit, kewujudan syarikat tidak berlesen yang menawarkan harga tidak munasabah sehingga mengelirukan jemaah, perubahan polisi Arab Saudi yang semakin digital dan aduan jemaah.

Justeru integriti menjadi keperluan bagi industri pelancongan terutama penyedia pakej umrah dan haji bagi meningkatkan kepercayaan pelanggan serta memastikan ibadat jemaah disempurnakan dengan baik.

Katanya, kejayaan Andalusia yang telah beroperasi lebih 20 tahun dan menarik kepercayaan lebih 1 juta jemaah adalah kerana integriti sebagai jantung operasi serta komitmen menolak rasuah, salah guna kuasa dan amalan tidak beretika.

“Dalam dunia umrah dan haji, sekecil-kecil ketirisan, manipulasi, atau penipuan boleh menghancurkan ibadat seseorang. Sebab itulah, komitmen kami terhadap integriti bukan pilihan.

Kami menjaga amanah membawa jemaah untuk beribadat,  memberi maklumat yang benar dan mengurus wang mereka dengan penuh tanggungjawab,” katanya pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelancaran Polisi Integriti bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Imanulfa’izin (YIF), Fawaz Abdul Hamid Dahlan dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Samsul Salip.

Pada majlis itu, Andalusia turut menandatangani dan melafazkan IBR dengan disaksikan Samsul sebagai langkah memperkukuh tadbir urus, budaya integriti dan kesedaran antirasuah dalam kalangan warganya.

YIF turut melancarkan Polisi Integriti YIF yang merangkumi empat dokumen dasar utama iaitu Polisi Antirasuah, Polisi Hadiah, Hospitaliti dan Keraian, Polisi Konflik Kepentingan serta Polisi Whistleblowing (Aduan dan Perlindungan Pemberi Maklumat).

Beliau juga mengingatkan dalam industri yang berkaitan dengan wang awam, urusan sensitif jemaah dan kontrak besar, risiko rasuah sentiasa wujud.

Katanya, dengan polisi integriti, jemaah boleh yakin bahawa setiap ringgit yang mereka bayar diurus dengan telus dan adil dan pada masa yang sama integriti juga bukan hanya melindungi syarikat, tetapi melindungi rezeki seluruh warga kerja

Justeru pengukuhan imej Andalusia sebagai syarikat travel patuh undang-undang dan berakauntabiliti tinggi amat penting memandangkan dalam pasaran sekarang  banyak syarikat jatuh kerana integriti yang rapuh.

“Jemaah bukan hanya mencari pakej murah sebaliknya yang boleh dipercayai dengan tidak menipu harga, tidak mengelirukan, tidak menjual pakej palsu dan tidak bermain dengan ibadat orang.

“Apabila industri menjadi tidak sihat, pihak yang paling terseksa adalah jemaah. Sebab itu komitmen Andalusia untuk memperkukuh integriti adalah untuk menjaga maruah industri, jemaah dan negara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment