PENAMPANG 14 Nov. – Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) akan menampilkan lebih 20 calon dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Presidennya, Ewon Benedick berkata, calon-calon UPKO terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan, pengusaha kelapa sawit, peniaga, ahli Parlimen, bekas pegawai kerajaan serta aktivis masyarakat sivil.
Katanya, senarai calon akan diumumkan secara rasmi pada Sabtu ini, dan beliau sendiri akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
“Kita mahu menzahirkan kepemimpinan UPKO supaya kerajaan Sabah yang bakal dibentuk nanti lebih tegas dan berprinsip,” katanya pada Majlis Konvensyen Rakyat dan Pelancaran Jelajah ‘Sabah First’ di Dewan Gawir, di sini.
Ahli Parlimen Penampang itu menegaskan, pilihan raya kali ini perlu menjadi referendum kepada rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri, termasuk yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Mengenai jelajah ‘Sabah First’ pula, Ewon berkata pelancaran tersebut menandakan permulaan kepada satu gagasan perjuangan baharu yang menumpukan kepada hak-hak Sabah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
Beliau menjelaskan bahawa manifesto penuh ‘Sabah First’ akan diumumkan selepas penamaan calon esok.
“‘Sabah First’ ini akan berasaskan kepada hak-hak Sabah dalam Perlembagaan, Persekutuan dan MA63, yang mesti diputuskan oleh rakyat Sabah, oleh parti Sabah, oleh kerajaan Sabah tanpa memerlukan lagi pandangan-pandangan di luar sana,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, beliau memaklumkan UPKO akan mengadakan Jelajah ‘Sabah First’ di seluruh negeri yang melibatkan calon-calon parti, bahagian-bahagian UPKO dan penyertaan rakyat Sabah sendiri.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pelaksanaan 13 perkara MA63 yang telah diselesaikan, namun menegaskan bahawa masih banyak isu belum ditunaikan sepenuhnya.
Nnn
