Giliran bekas ADUN Gemas keluar Bersatu

SEREMBAN 11 Julai – Episod pemimpin meninggalkan Bersatu berterusan apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad memutuskan keluar parti menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.

Ridzuan dalam kenyataan berkata, keputusan itu yang berkuat kuasa hari ini dibuat selepas pertimbangan yang panjang, penelitian mendalam serta muhasabah terhadap perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan.

“Saya Ridzuan Ahmad dengan ini mengemukakan peletakan jawatan saya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tampin berkuat kuasa pada hari ini Sabtu, 11 Julai.

“Seiring dengan peletakan jawatan tersebut, saya juga ingin memaklumkan bahawa saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada keahlian Bersatu, berkuat kuasa pada tarikh yang sama,” katanya menerusi sepucuk surat.

Sebelum ini Ahli Dewan Negara, Senator Azahar Hassan mengisytiharkan keluar daripada Bersatu sekaligus melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Setiausaha Bersatu Negeri Perlis.

Dalam pada itu Ridzuan percaya langkah ini selaras dengan prinsip dan pendirian saya untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat khususnya pengundi di DUN Gemas, dalam suasana dinamika politik negeri yang semakin mencabar.

“Sepanjang penglibatan saya dalam Bersatu, saya telah berusaha sebaik mungkin memperjuangkan suara rakyat Gemas dan Negeri Sembilan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada presiden dan seluruh kepimpinan serta ahli yang bersama-sama melalui pelbagai cabaran,” katanya.

Ridzuan berkata, beliau akan terus komited berkhidmat kepada rakyat Gemas dan yakin landskap politik negeri memerlukan pendekatan lebih matang, stabil dan berfokuskan kesejahteraan rakyat melebihi kepentingan parti.

Related posts

Leave a Comment