Operasi haji berakhir dengan ‘Diamond Award’

SEPANG 11 Julai – Operasi haji bagi tahun 1446H/2025M yang dikendalikan Tabung Haji tamat secara rasmi apabila 232 orang jemaah daripada kumpulan terakhir dijadualkan tiba pukul 12.10 tengah hari ini.

Terdahulu kira-kira pukul 7 malam dan 9.30 malam tadi,  dua penerbangan tiba dengan membawa jemaah serta para petugas haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar hadir menyambut ketibaan 264 orang jemaah haji (KTyang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini.

Turut hadir Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Na’im berkata pengurusan haji bagi tahun 1446H/2025M adalah yang terbaik dan mendapat pujian serta pengiktirafan kerajaan Arab Saudi.

Katanya, bagi operasi haji kali ini, Lembaga Tabung Haji (TH) menerima Anugerah Tertinggi Labaytum ‘Diamond Award’ untuk pengurusan jemaah haji terbaik dunia daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Kita menerima ‘Diamond Award’, ia satu penghargaan tertinggi yang diberikan kepada TH hasil daripada pengurusan yang terbaik.

“Ia adalah usaha yang ditunjukkan oleh semua pihak, khususnya daripada pihak pengurusan tertinggi hingga kepada warga kerja TH. Kerja berpasukan antara faktor bagaimana pengurusan TH berjaya berjalan dengan baik,” katanya.

Mohd Na’im berkata pada operasi haji kali ini, sebanyak 22 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci berbanding 28 orang pada tahun sebelumnya.

Kebanyakan jemaah haji yang meninggal dunia ini ada kaitan dengan penyaki jantung iaitu 20 jemaah  manakala dua orang mungkin disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

Sementara itu, Mohd Na’im memuji jemaah haji Malaysia yang berdisiplin dan sentiasa mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua organisasi media yang membuat liputan dengan baik pada operasi haji tahun ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment