Ewon letak jawatan terlalu awal

TAWAU 10 Nov. – Tindakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick meletakkan jawatan Kabinet merupakan satu keputusan yang terlalu awal, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, keputusan sama ada kerajaan akan merayu atau tidak terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah masih belum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.

“Peguam Negara baru sahaja merujuk perkara ini tiga hari lalu. Mesyuarat Jemaah Menteri akan diadakan esok untuk meneliti dan memuktamadkan pendirian kerajaan,” katanya ditemui media selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak, hari ini.

Pada 8 November lalu, Ewon mengesahkan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan menerusi satu kenyataan di Facebook.

Menurut Anwar, kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa kerana setiap langkah perlu mengikut proses perundangan yang betul.

“Pandangan peribadi saya cenderung untuk elak daripada merayu, …appeal itu sudah saya jelaskan. Tapi, kita kena dengar dulu penjelasan Peguam Negara, baca dulu penghakiman yang baru diterima tiga hari lalu,” katanya.

Beliau menegaskan, sebagai pemimpin, tindakan yang diambil tidak boleh dipengaruhi sentimen atau tekanan politik semasa.

“Sebagai kerajaan, kita mesti berpaksikan fakta dan undang-undang. Saya faham keresahan rakyat Sabah, tapi prosesnya mesti dilalui,” katanya.

Anwar turut menegaskan kerajaan MADANI kekal komited terhadap pelaksanaan dasar berasaskan undang-undang serta memastikan peruntukan kepada Sabah lebih terjamin berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Perdana Menteri mengesahkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok tidak akan membincangkan mengenai rombakan Kabinet seperti yang diperkatakan.

Semalam Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata, Anwar akan mengadakan sesi taklimat bersama Jemaah Menteri pada Selasa, dengan antara lain dijangka membincangkan rombakan Kabinet.

Mohamad, berkata pada sesi berkenaan, Perdana Menteri turut dijangka memberi penerangan berhubung peletakan jawatan Ewon Benedick.

“Saya dengar melalui berita (peletakan jawatan oleh Ewon) tetapi pada Selasa ini, ada mesyuarat Kabinet dan kita akan dengar penerangan daripada Perdana Menteri,” katanya.

Sebelum ini, dua menteri dalam Kerajaan Perpaduan meletak jawatan daripada Kabinet iaitu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Manakala Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang kini disandang oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka kosong apabila tempoh beliau sebagai Senator berakhir pada hujung tahun ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment