PENAMPANG 10 Nov. – Presiden UPKO Ewon Benedick menaklumkan, beliau sudah mengemukakan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pagi ini.
Ahli Parlimen Penampang itu yang mengumumkan hasrat meletak jawatan pada 8 November lalu berkata, mulai hari ini juga, beliau akan mula menghabiskan baki cuti yang ada.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau memaklumkan akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO bagi membincangkan agenda “Sabah First” yang menjadi asas perjuangan parti seperti termaktub dalam Perlembagaan Parti.
Edwon sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan itu selaras dengan prinsipnya untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berpegang kepada prinsip saya, sepertimana dalam Perlembagaan Parti UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata ADUN Kadamaian itu.
Ia merujuk penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid ke atas semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.
Beliau berkata, pendirian dan pandangan dinyatakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepertimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia, sepertimana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas Perlembagaan.
(Foto hiasan)
