Wartakan jelapang padi seluruh negara

KUALA LUMPUR 8 Okt . – Kerajaan negeri disaran mewartakan kawasan jelapang padi membabitkan 217,165 hektar di seluruh negara bagi membendung penyusutan tanah sawah sejak lima tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Chan Foong Hin, berkata cadangan itu dikemukakan selepas kementerian memandang serius trend penyusutan keluasan sawah padi sejak 2020.

Katanya, perkara itu turut dibincangkan menerusi mesyuarat bersama antara Menteri KPKM dengan Exco Pertanian Negeri.

“Data menunjukkan penyusutan keluasan padi dari 2020 hingga 2025 merekodkan penurunan sebanyak 5,676 hektar di kawasan jelapang padi, manakala kawasan di luar jelapang padi pula menyusut sebanyak 2,810 hektar.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan penyusutan tanah sawah bagi tempoh berkenaan sebanyak 8,486 hektar.

Sehubungan itu, kementerian berharap semua kerajaan negeri dapat menyahut cadangan pewartaan berkenaan bagi memastikan tiada lagi tanah sawah padi yang beralih kegunaan atau terus berkurangan pada masa hadapan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (Pas-Bagan Serai) mengenai pelan mitigasi bagi mengatasi masalah penukaran status tanah daripada sawah padi kepada tanaman lain.

Dalam pada itu, Foong Hin berkata sebanyak lima jenis komoditi makanan mencapai Kadar Sara Diri (SSR) melebihi 90 peratus pada 2025.

“Komoditi itu ialah daging itik (127.1 peratus), telur ayam dan itik (108.4 peratus), daging ayam (91.8 peratus), ikan makanan (90.8 peratus) dan buah-buahan tropika (96.7 peratus),” katanya.

Bagi susu segar, kadar SSR adalah 81.8 peratus, sayur-sayuran tropika mencapai 82.2 peratus, menunjukkan pengeluaran tempatan hampir mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik manakala SSR beras mencatatkan 54.3 peratus.

Bagaimanapun, katanya, kadar SSR sayur-sayuran secara keseluruhan adalah 46.6 peratus disebabkan kebergantungan kepada import bagi jenis sayur tertentu, khususnya sayur beriklim sederhana dan bernilai tinggi.

Foong Hin berkata, KPKM optimis pendekatan komprehensif berorientasikan ketiga-tiga wilayah negara iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak mampu memperkukuh rantaian bekalan makanan.

“Usaha bersepadu ini juga adalah kunci utama untuk terus melonjakkan pencapaian terkini SSR pengeluaran produk tempatan utama negara sekali gus menjadikan ekosistem makanan negara kekal ampuh berdepan pelbagai cabaran global masa kini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment