GAZA – Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) menyalurkan kumpulan bantuan makanan baharu ke kawasan timur Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza melalui Pusat Kebudayaan dan Warisan Arab Saudi.
Bantuan itu sebagai sebahagian daripada kutipan dana Arab Saudi yang sedang berjalan bagi menyokong rakyat Palestin.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), usaha meluas KSrelief termasuk penubuhan jambatan udara dan laut, sehingga kini menghantar 71 pesawat dan lapan kapal, membawa lebih 7,655 tan bekalan makanan, perubatan serta bahan perlindungan.
Selain itu, sebanyak 20 ambulans turut diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
KSrelief juga telah menandatangani perjanjian bernilai AS$90.35 juta dengan pertubuhan antarabangsa bagi melaksanakan projek bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Pusat itu turut menjalankan penghantaran bantuan melalui udara dengan kerjasama Jordan bagi mengatasi penutupan lintasan sempadan dan memastikan bantuan sampai secara berterusan.
Dalam pada itu, krisis kemanusiaan di Gaza kini memasuki fasa lebih kritikal apabila sumber air utama di wilayah itu dilaporkan tercemar teruk, menjadikan bekalan air beracun dan tidak selamat untuk kegunaan harian.
Menurut laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), konflik selama dua tahun merosakkan sistem air bawah tanah, pantai dan tanah pertanian Gaza, dengan pemulihan dijangka mengambil masa beberapa dekad.
Di kawasan Sheikh Radwan, kolam tadahan hujan yang dahulunya menjadi sumber air komuniti kini dipenuhi sisa kumbahan, serpihan bangunan dan bahan kimia berbahaya.
Hanya 15 peratus daripada keperluan air harian penduduk dapat dipenuhi ketika ini, manakala kebanyakan telaga telah musnah atau tercemar akibat serangan udara dan sekatan bahan api.
Jurucakap Majlis Perbandaran Gaza, Hosni Muhanna, berkata penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini terpaksa berlindung di kawasan yang terdedah kepada air bertakung dan nyamuk pembawa penyakit.
Nnnn
