BAITULMUQADDIS – Israel menunggu lima lagi jasad untuk dikembalikan Hamas, bagi membolehkan gencatan senjata memasuki proses seterusnya selepas mengesahkan identiti mayat tebusan terbaharu yang dipulangkan kelmarin.
Tentera Israel mengenal pasti mayat yang diserahkan itu sebagai Lior Rudaeff, seorang pemandu ambulans sukarelawan yang terbunuh pada 7 Oktober 2023.
Warga Israel-Argentina berusia 61 tahun itu adalah antara lima orang awam bersenjata yang maut sewaktu mempertahankan komuniti mereka, kibbutz Nir Yitzhak.
Kematiannya disahkan oleh pihak berkuasa Israel pada Mei 2024 dan namanya dimasukkan dalam senarai 20 tebusan hidup dan 28 tebusan meninggal dunia yang dipersetujui untuk dikembalikan oleh Hamas di bawah syarat gencatan senjata Oktober lalu.
Pada awal gencatan senjata bulan lalu, Hamas memulangkan 20 tebusan yang masih hidup, manakala Israel pula membebaskan ratusan tahanan Palestin.
Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, bagi setiap mayat tebusan Israel yang dipulangkan, 15 mayat warga Palestin yang terbunuh diserahkan semula.
Sehubungan itu, semalam Pusat Perubatan Nasser di Khan Younis mengumumkan ketibaan 15 mayat baharu warga Palestin dari Gaza yang sebelum ini ditahan oleh Israel, menjadikan jumlah keseluruhan 300 jasad yang dikembalikan.
Mayat-mayat itu diserahkan oleh Palang Merah seperti pemindahan terdahulu, tetapi kebanyakannya tidak dapat dikenal pasti dan ramai dikebumikan dalam kubur besar.
Kementerian Kesihatan Gaza, yang dikendalikan oleh Hamas berkata, daripada 300 mayat yang diterima, hanya 89 sahaja dikenal pasti setakat ini manakala pengerusi jawatankuasa penerimaan mayat, Ahmed Dhair, berkata, 15 mayat terbaru menunjukkan kesan tembakan dan kecederaan akibat letupan.
Nnnn
