KUALA LUMPUR 6 Nov . – Sepanjang tahun lalu, kos rawatan pesakit EVALI ((‘E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’) dianggarkan mencecah RM223.5 juta lebih tinggi berbanding kutipan hasil cukai nikotin bagi produk vape iaitu RM209.5 juta sejak April 2023 hingga Ogos 2025.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, anggaran kos rawatan yang tinggi itu menunjukkan beban kewangan yang besar ditanggung oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dan rokok elektronik.
“Berdasarkan data Kementerian Kewangan (MOF), duti eksais ke atas cecair atau gel bernikotin dikenakan pada kadar 40 sen bagi setiap milliliter mulai 1 April 2023. Jumlah kutipan bagi tempoh April 2023 hingga Ogos lalu adalah RM209.5 juta.
Sementara itu, anggaran kos rawatan pesakit EVALI dianggarkan berjumlah RM223.5 juta bagi tahun lalu, melebihi hasil cukai yang dikutip dalam tempoh yang lebih panjang,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus), yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan statistik kes EVALI selepas Akta 852 dikuatkuasakan serta perbandingan hasil cukai nikotin dengan kos rawatan.
Menurut beliau, purata kos rawatan seorang pesakit berkaitan EVALI berpunca rokok elektronik termasuk vape dianggarkan sebanyak RM150,892.11 dan tempoh kemasukan ke hospital secara purata adalah selama 12 hari.
Katanya, selepas penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober 2024, sebanyak enam kes komplikasi serius paru-paru yang dikenal pasti sebagai EVALI dilaporkan sehingga September lalu.
Sejak 2019, KKM merekodkan 46 kes EVALI sehingga September lalu.
Nnnn
