KUALA LUMPUR 6 Nov. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) menghentikan amalan yang boleh menjurus ke arah sistem yang membenarkan penjenayah kolar putih ‘membasuh dosa’ di kaunter kerajaan.
Presidennya Dr Ibrahim Ali berkata, jika ini tidak dihentikan, negara bakal mewujudkan rasuah berlesen nasional (RBN) di mana rasuah bukan lagi jenayah, sebaliknya berubah menjadi “deposit sementara”.
“Negara ini sedang memasuki satu fasa yang sangat berbahaya dalam sejarah undang-undang dan integriti pentadbiran. Undang-undang bukan lagi benteng amanah. Ia telah mula kelihatan seperti kaunter refund untuk orang berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk ucapan perbahasan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok semalam yang mempersoalkan sama ada menjadi hala tuju AGC untuk tidak mendakwa individu atas kesalahan rasuah sekiranya memulangkan semua duit rasuah.
Teresa merujuk kes melibatkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang dituduh atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM9.9 juta tetapi dibebaskan selepas membayar denda sebanyak RM4.1 juta.
Adam membayar denda itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Begitu juga dengan seorang wakil rakyat dan pembantunya yang dituduh menyimpan beratus-ratus juta ringgit dalam satu rumah.
“Apakah ini hala tuju Jabatan Peguam Negara (AGC), di mana AGC tidak akan mendakwa seseorang di bawah rasuah sekiranya dia memulangkan semua duit rasuah berkenaan?” kata Teresa pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Dalam hal ini, Ibrahim berkata, Putra melihat pola yang semakin terang, pulangkan duit, bayar denda, ubah alasan teknikal dan terlepas dari dakwaan.
Katanya , jika orang berada boleh membayar kebebasan, sedangkan rakyat biasa, penjawat awam bawahan, peniaga kecil, guru, kontraktor kecil, dihukum tanpa belas, maka undang-undang ini bukan lagi undang-undang.
“Ia sudah menjadi alat kelas feudal moden. Adakah rakyat biasa yg curi ayam ditangkap dan boleh bebas selepas ayam yang dicuri dipulang balik.
“Soalan paling mudah, paling asas, paling jujur, apa makna SPRM jika pulangkan wang boleh suci balik? Kalau pencuri pulangkan barang curi, adakah dia tiba-tiba dianggap manusia paling amanah dalam kampung?
Rasuah bukan soal wang. Rasuah ialah pengkhianatan. Ia memakan masa depan rakyat, menghancurkan keadilan sosial. Ia merosakkan kepercayaan. Pengkhianatan tidak pernah gugur hanya kerana bayaran balik dibuat,” katanya.
Dalam pada itu Putra menuntut penjelasan daripada SPRM dan AGC berhubung pola pelik dan tidak konsisten berkaitan kes Ahmad Zahid Hamidi i (DNAA) atas alasan “representasi,” tanpa justifikasi jelas serta kes melibatkan Ismail Sabri Yaakob dan lebih 40 kes politik berstatus KIV dan NFA yang “hilang dalam kabus”.
Putra juga mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tatakelola pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi, dengan mandat berikut: Semakan terbuka semua kes DNAA / KIV / NFA sejak 2018; Pendedahan kriteria dan rasional AGC dalam menentukan siapa didakwa dan siapa dibebaskan dan Pembentangan laporan penuh di Parlimen, bukan sekadar kenyataan media.
Nnnn
