KUALA LUMPUR 3 Nov. – Council on Vertical Urbanism (CVU) mengiktiraf Menara Merdeka 118 sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (300 meter ke atas), menandakan satu lagi pencapaian membanggakan Malaysia di pentas dunia.
Anugerah itu disampaikan pada Majlis Anugerah CVU 2025 di Toronto, Kanada, yang meraikan kecemerlangan dalam reka bentuk bangunan tinggi dan perancangan bandar di peringkat global.
CVU yang sebelum ini dikenali sebagai Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH), merupakan antara pihak berkuasa terkemuka dalam bidang pencakar langit dan kehidupan bandar moden.
PNB Merdeka Ventures Snd Bhd (PNBMV) dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu mencerminkan kehebatan seni bina, kepakaran kejuruteraan serta komitmen Merdeka 118 dalam mengutamakan kelestarian.
Dengan ketinggian 678.9 meter di tengah-tengah Kuala Lumpur menjadikan Merdeka 118 sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan menara kedua tertinggi di dunia, melambangkan kemajuan serta aspirasi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata peingiktirafan itu merupakan penghormatan besar buat Malaysia serta semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pembinaan Merdeka 118.
“Visi kami bukan hanya untuk membina sebuah menara ikonik, tetapi juga membentuk sebuah kawasan menghubungkan masyarakat, meraikan warisan serta menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih mampan dan inklusif.
“Kami berasa bangga apabila visi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Merdeka 118 mencerminkan semangat kemerdekaan, melambangkan ketabahan dan keyakinan Malaysia terhadap masa depan,” katanya.
Sementara itu Arkitek Utama Fender Katsalidis, Karl Fender berkata reka bentuk Merdeka 118 bukan untuk mencapai ketinggian luar biasa, sebaliknya peluang mencipta monumen abadi yang menghormati warisan Malaysia sambil meraikan masa depannya.
Pengerusi CVU Shonn Mills pula, berkata Merdeka 118 merupakan kecemerlangan reka bentuk bersepadu yang menggabungkan kecekapan teknikal, nilai penceritaan budaya serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Ia menjai contoh bagaimana bangunan tinggi mampu berperanan sebagai pemangkin kepada pembaharuan bandar, sambil mencerminkan identiti serta aspirasi sesebuah negara,” katanya.
Merdeka 118 dibangunkan PNB Merdeka ventures, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), menjadi mercu utama Presint Merdeka 118 yang merangkumi pembangunan bercampur menampilkan dua stadium bersejarah, ruang komuniti serta reka bentuk berasaskan kelestarian.
Komponen utama seperti Stadium Merdeka dan 118 Mall dijangka menjadi destinasi awam inklusif, disokong pelbagai inisiatif berteraskan komuniti termasuk Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dan Geran Komuniti Merdeka 118.
(Foto CVU @ CTBUH)
Nnnn
