KUALA LUMPUR 3 Nov. – Beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan menggesa tindakan tegas diambil terhadap Awang Hashim (PN-Pendang) kerana didakwa menyebut perkataan ‘Hulu Laknat’ semasa berucap di Dewan Rakyat.
Awang didakwa menggunakan perkataan yang menghina dan bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dalam sesi penggulungan oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, Khamis lalu.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mendakwa, Awang dengan sengaja beberapa kali menyebut perkataan ‘Hulu Laknat’ semasa berucap di Dewan Rakyat.
Katanya, perkataan itu difahami membawa maksud menghina dan secara jelas merujuk kepada Hulu Langat yang juga sebuah daerah di Selangor yang diperkenan oleh Sultan Selangor untuk digunakan secara rasmi dalam urusan pentadbiran dan perundangan negeri.
Mohd Sany berkata, tindakan Pendang ini bukan sahaja mencemar nama baik Hulu Langat dan rakyatnya, malah turut dianggap menghina naungan dan pemerintahan Sultan Selangor.
“Ia amat tidak wajar, tidak beradab dan bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan serta tatakelakuan seorang Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat.
Laknat ini kalau disebut dalam al-Quran, Allah sebut pada syaitan, iblis (dan) Firaun. Adakah (ia juga) disebut kepada 1.5 juta warga Hulu Langat?,” soalnya dalam sidang media di Parlimen di sini, hari ini.
Selain Mohd Sany, beberapa Ahli Parlimen lain terbabit termasuk, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka); Syahredzan Johan (PH-Bangi); Aminolhuda Hassan (PH- Sri Gading); Azli Yusof (PH- Shah Alam); dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).
Sementara itu, Poay Tiong mendakwa pada 15 Oktober lalu, di Dewan Rakyat, Awang menyebut Kota Melaka sebagai ‘Kota Celaka’.
“Kita mengkritik sekeras-kerasnya perbuatan Ahli Parlimen Pendang berkenaan.
Apabila saya balik ke kawasan penduduk dan juga pengundi di kawasan saya, mereka mengatakan tidak puas hati dan marah terhadap apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pendang.
“Kita harap supaya Tan Sri Speaker dapat menerima usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat,” katanya.
Sementara itu, Sany memaklumkan usul rasmi sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul pagi tadi bagi membolehkan perkara itu disiasat dengan segera serta tindakan sewajarnya diambil.
“Dalam usul, saya mencadangkan Ahli Parlimen Pendang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk siasatan lanjut, selaras dengan Peraturan 36(10)(a) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Ini kerana ucapan beliau jelas membawa maksud menghina dan tidak berpatutan diucapkan oleh seorang Ahli Yang Berhormat,” katanya.
Nnn
