Tuah anak muda Kelantan kembali ke Saudi

SEPANG 11 Jan. – Selepas mendapat pakej umrah percuma tajaan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Habieburrahmaan Ahmad Tahar, 26 sekali lagi akan kembali ke Arab Saudi sebagai pelajar di Universiti Qassim, Buraydah.

Khamis lalu, beliau adalah salah seorang daripada, sekumpulan 65 orang jemaah umrah yang tiba dari Madinah selepas 12 hari 10 malam di Arab Saudi bagi menyertai Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Sejurus tiba di KLIA sekitar 11.30 pagi, mereka kemudiannya bertolak ke Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala, Kota Bharu, lokasi solat 90 rakaat – Subuh, Maghrib, Isyak yang membawa mereka ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Bagaimanapun bagi Habieburrahmaan, selepas tiga hari berehat bersama keluarga di Kelantan, beliau sekali lagi bersiap-siap akan ke Arab Saudi pada Isnin ini, kali ini dengan misi melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Riyadh.

“Pada Ahad ini (12 Januari), saya sekali lagi akan ke Kuala Lumpur untuk meneruskan perjalanan ke Riyadh pada hari Isnin,” kata anak muda yang berasal dari Kampung Paya Rambai itu.

Beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian dari Kerajaan Arab Saudi, dua minggu sebelum menunaikan umrah yang ditaja Andalusia selepas terpilih sebagai salah seorang yang menenuhi syarat solat 90 waktu di Masjid Imanul Fa’izin.

Katanya, tawaran umrah percuma oleh Andalusia dan melanjutkan pengajian ke Arab Saudi dalam tempoh yang sama merupakan satu kejutan bagi dirinya yang sehingga hari ini masih tidak percaya dapat menunaikan umrah.

“Ketika berhadapan dengan Kaabah, saya masih tertanya-tanya adakah benar sudah ada di hadapan Kaabah,” katanya yang pada mulanya menyangkan tawaran umrah itu sebagai scam kerana belum ada yang memberi tawaran seumpama itu.

Menurut Habieburrahmaan, sejak dua tahun lalu beliau sudah mengemukakan permohonan untuk melanjutkan pengajian di Arab Saud dan pada masa yang sama memohon pengajian di Mesir sebagai persediaan.

Bagaimanapun beliau kini diberi tawaran itu untuk pengajian selama enam tahun di Arab Saudi di mana tempoh dua tahun dikhususkan untuk belajar bahasa Arab manakala empat tahun untuk pengajian dalam bidang syariah.

Walaupun tawaran umrah dan pengajian datang serentak, beliau bersyukur kerana visa bagi kedua-duanya dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan tidak menghalang dirinya untuk menunaikan umrah.

“Sekarang saya hanya perlu belajar, duit tak perlu fikir kerana ditaja Arab Saudi, tiket penerbangan balik ke Malaysia pula setahun sekali, “ katanya.

Nampaknya selepas umrah pertama ini, Habieburrahmaan lebih berpeluang untuk berkunjung ke Makkah atau Madinah bagi melepaskan rindunya kepada Baitullah dan Rasulullah SAW.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment