Anak-anak Gaza kembali ke sekolah

GAZA – Di tengah-tengah kemusnahan, anak-anak Gaza akhirnya kembali ke sekolah selepas dua tahun terpaksa meninggalkan bilik darjah akibat perang yang meragut ribuan nyawa.

Selepas gencatan senjata diumumkan, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) giat memulihkan sekolah-sekolah yang sebelum ini dijadikan pusat perlindungan sementara.

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini, memaklumkan, program “Kembali Belajar” kini diperluas, merangkumi pembelajaran secara fizikal dan dalam talian.

Namun, kesan perang masih jelas kelihatan.

Jurucakap UNRWA, Inas Hamdam berkata, lebih 62,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan pembelajaran sementara sejak ia dilancarkan pada 1 Ogos 2024.

“UNRWA terus membuka ruang pembelajaran sementara dan menyediakan pembelajaran jarak jauh kepada kira-kira 300,000 pelajar di Gaza, dengan bantuan 8,000 guru,” katanya.

Beliau menegaskan, setiap kanak-kanak, di mana sahaja mereka berada, berhak untuk hidup, bermaruah dan mendapat pendidikan.

Dalam pada itu, Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memetik kata-kata seorang pelajar, Sham Al-Abd, yang kini bersekolah di Sekolah Rendah Bersama Deir al-Balah yang dikendalikan UNRWA: “Apa yang kami perlukan sekarang ialah buku nota, buku dan pen. Kami mahu kehidupan kami semula.”

Walaupun sekolah itu masih mengekalkan perabot lama dan lukisan yang sedikit menghiasi dinding, keterujaan pelajar untuk kembali belajar selepas berbulan-bulan berlindung daripada serangan udara jelas terpancar.

Rakan sekelas Sham, Asil Al-Loh berkata: “Kami mahu belajar dan bermain, serta belajar semua subjek seperti dahulu. Sekarang kami hanya belajar Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Matematik.”

NNNN

Related posts

Leave a Comment