SINGAPURA 25 Okt. – Bakal jemaah yang tidak dapat menunaikan ibadah Haji atas sebab kesihatan dibenarkan menangguhkan ibadah itu atau melantik wakil untuk melaksanakannya, demikian fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura.
Timbalan Mufti Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar berkata fatwa itu disediakan bagi membantu bakal jemaah Haji yang tidak diberikan visa oleh Arab Saudi kerana masalah kesihatan.
Bercakap pada sidang media di bangunan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) semalam, Dr Izal Mustafa Kamar berkata fatwa itu disediakan bagi membantu bakal jemaah Haji yang tidak diberikan visa oleh Arab Saudi kerana masalah kesihatan.
Ia juga sejajar dengan peraturan kesihatan terbaharu bagi menunaikan Haji yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah (MOHU) Arab Saudi, antaranya bakal jemaah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal.
“Jawatankuasa Fatwa baharu mengeluarkan keputusan fatwa untuk memberi jalan keluar serta pilihan sama ada mereka menangguhkan untuk menunaikan Haji pada masa akan datang apabila mereka sembuh dengan sepenuhnya.
Bagi mereka yang menghidapi penyakit yang tidak boleh pulih, mereka boleh melantik wakil untuk menunaikan Haji mereka ataupun Badal Haji, yang juga perlu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
“Jawatankuasa Fatwa akur untuk mengatur Badal Haji bukan mudah, ia mendatangkan cabaran tertentu. Lantas, individu ini tidak perlu tergesa-gesa ingin menunaikan Badal Haji, ia boleh ditangguhkan pada masa sesuai,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dalam keadaan Badal Haji mungkin tidak dapat dijalankan, seperti yang ditetapkan ulama terdahulu, individu yang tidak berjaya menunaikan Badal Haji walaupun setelah berusaha, maka menunaikan haji bukan kewajipan lagi.
Dalam pada itu, kuota haji Singapura bagi tahun 2026 adalah sebanyak 900 jemaah dan pemohon yang mendaftarkan diri untuk ibadah Haji sebelum 7 Mac 2014 akan mula mendapat Surat Hasrat (LOI) menerusi portal MyHajSG bermula 31 Oktober.
Bagi musim Haji tahun depan, para pemohon juga perlu mendapatkan Sijil Kesihatan Perubatan yang mengesahkan mereka sihat untuk menunaikan ibadah Haji.
