WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengarahkan Pentagon untuk bersiap sedia bagi kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Nigeria, susulan dakwaan berterusan mengenai keganasan terhadap komuniti Kristian di negara itu.
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump menyifatkan insiden yang berlaku sebagai “penyembelihan besar-besaran” terhadap penganut Kristian dan memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan “segera menghentikan semua bantuan dan sokongan kepada Nigeria” sekiranya kerajaan negara itu tidak bertindak segera.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Perang kita untuk bersiap sedia. Jika kita menyerang, ia akan berlaku dengan pantas, ganas dan tepat — sama seperti cara pengganas menyerang umat Kristian kita yang DIKASIHI!” tulis Trump.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa AS mungkin akan “masuk ke negara yang telah tercemar itu dengan senjata menyala” bagi menghapuskan sepenuhnya kumpulan pengganas Islam yang didakwa melakukan kekejaman tersebut.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Trump menamakan Nigeria sebagai “Country of Particular Concern” (Negara yang Menjadi Perhatian Khas) di bawah Akta Kebebasan Beragama Antarabangsa, dengan alasan bahawa Kristian kini berdepan ancaman kewujudan di negara tersebut.
Penamaan itu membolehkan AS mempertimbangkan sekatan terhadap Nigeria, termasuk larangan bantuan bukan kemanusiaan, walaupun ia tidak bermakna sekatan akan dilaksanakan serta-merta.
Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu dalam kenyataan balasnya menegaskan bahawa dakwaan Trump tidak mencerminkan realiti sebenar di negaranya.
Katanya , kebebasan beragama dan toleransi adalah teras kepada identiti nasional negara itu dan Nigeria menolak sebarang bentuk penganiayaan agama dan tidak menggalakkannya.
Nnnn
