WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula jawatan Presiden bagi penggal ketiga, walaupun Perlembagaan negara itu melarang perkara tersebut.
Dalam satu kenyataan kepada media semasa lawatannya ke Asia, Trump berkata, beliau “suka” dengan idea untuk kembali ke White House, tetapi menolak cadangan untuk bertanding sebagai Naib Presiden pada 2028.
Bagi mengelak dengan larangan Perlembagaan, ada penyokong mencadangkan Trump bertanding Naib Presiden.
“Saya rasa orang ramai tidak akan suka. Ia terlalu licik. Ia tidak betul,” katanya kepada wartawan semasa dalam penerbangan dari Malaysia ke Jepun.
Trump berkata, berdasarkan tinjauan semasa, beliau mempunyai angka sokongan yang tinggi namun belum membuat keputusan muktamad.
Pada masa yang sama, beliau menyebut nama Naib Presiden AS, JD Vance dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sebagai antara tokoh yang berpotensi menggantikannya dan menyifatkan mereka sebagai “tidak dapat ditandingi.”
Perlembagaan Amerika Syarikat melalui Pindaan ke-22 melarang mana-mana individu daripada memegang jawatan Presiden lebih daripada dua penggal.
Untuk memansuhkan pindaan itu, ia memerlukan sokongan dua pertiga daripada kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat, atau konvensyen perlembagaan oleh dua pertiga badan perundangan negeri – satu proses yang dilihat amat sukar.
Minggu lalu, bekas penasihat Trump, Steve Bannon mendakwa, terdapat “pelan” untuk memastikan Trump kembali sebagai Presiden pada tahun 2028.
“Trump akan jadi Presiden pada 2028 dan orang ramai perlu mula terima kenyataan itu,” kata Bannon kepada The Economist.
Nnnn
