YAOUNDE – Bagi penggal kelapan, Paul Biya yang berusia 92 tahun mengekalkan kedudukan sebagai Presiden Cameroon, selepas memenangi pilihan raya yang penuh kontroversi dan dipertikaikan oleh pembangkang.
Menurut Majlis Perlembagaan negara itu, Biya memperoleh 53.7 peratus undi, menewaskan pencabar utama, Issa Tchiroma Bakary yang meraih 35.2 peratus undi.
Biya mula memegang jawatan itu pada 1982 dan memansuhkan had tempoh jawatan presiden pada tahun 2008 dan sentiasa memenangi pilihan raya presiden dengan margin undi yang selesa.
Dalam kenyataan selepas kemenangan diumumkan, Biya mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana terus memberi kepercayaan kepadanya dan berharap dapat bersama-sama membina Cameroon yang aman, bersatu dan makmur.
Tchiroma Bakary, bekas sekutu Biya, sebelum pengumuman rasmi mendakwa, beliau telah memenangi pilihan raya tersebut, namun, dakwaan itu ditolak oleh parti pemerintah, Cameroon People’s Democratic Movement (CPDM).
Sebanyak 10 calon bertanding dalam pilihan raya kali ini, termasuk bekas Perdana Menteri, Bello Bouba Maigari dengan peratusan keluar mengundi direkodkan pada 58 peratus.
Majlis Perlembagaan Cameroon menolak sekurang-kurangnya 10 petisyen berkaitan dakwaan penyelewengan pilihan raya.
Pilihan raya yang berlangsung pada 12 Oktober lalu dicemari insiden keganasan, termasuk pertempuran antara penyokong pembangkang dan pasukan keselamatan.
Ratusan penyokong Tchiroma Bakary dilaporkan melanggar larangan berhimpun di beberapa bandar utama.
Parti pemerintah menyambut kemenangan Biya sebagai simbol “keagungan dan harapan” dalam hantaran media sosial.
Biya dilaporkan jarang muncul di khalayak dan sering menghabiskan masa di hotel mewah di Switzerland. Ketiadaan beliau yang berpanjangan serta usia lanjut pernah mencetuskan khabar angin mengenai kematiannya.
Nnn
