Sesi persekolahan kembali ke Januari

PUTRAJAYA 28 Okt . – Sesi persekolahan kembali semula pada bulan Januari tahun depan susulan susunan kalendar akademik tahun 2026 yang bermula pada 11 dan 12 Januari 2026 mengikut kumpulan negeri.

Menurut kalendar akademik tahun 2026, bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan di negeri-negeri Kumpulan A, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, ia akan bermula pada 11 Januari 2026.

Bagi negeri Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula, sesi persekolahan akan bermula sehari selepas itu, iaitu pada 12 Januari 2026.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara lima tahun lalu telah mengubah landskap kalendar akademik kepada Mac untuk beberapa tahun sebelum ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kejayaan mengembalikan semula sesi persekolahan kepada bulan Januari dilaksanakan secara berperingkat dan tertib, tanpa mengganggu pengoperasian institusi pendidikan.

“Ia adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pendidikan di semua peringkat.

Usaha ini menyerlahkan tekad Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kalendar Akademik Tahun 2026 boleh dimuat turun melalui portal rasmi KPM di pautan berikut: https://www.moe.gov.my/surat-siaran-kpm-bil-3-tahun.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment