Gerakan jatuhkan Muhyiddin sudah lama

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Gerakan untuk menjatuhkan Presiden Bersatu,  Muhyiddin Yassin, didakwa sudah bermula sejak Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2021.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Dr Marzuki Mohamad,  berkata berdasarkan pemerhatiannya, berlaku perubahan sikap yang ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti selepas peletakan jawatan itu.

“Mereka mula menjauhkan diri dari Muhyiddin dan arahannya tidak diambil serius malah mesej-mesej yang dihantar melalui telefon berhari-hari tidak dijawab.

Malah seorang pemimpin sayap muda parti yang boleh dikatakan ‘anak emas’ Muhyiddin, mula bercakap secara terang-terangan bahawa Muhyiddin tidak lagi relevan. Maklumlah, walaupun sebagai ketua parti, beliau tidak berjawatan dalam Kabinet, sedangkan yang lain-lain itu menteri dengan kuasa dan pengaruh besar.

“Susah juga sebenarnya apabila menjadi ketua parti yang tiada jawatan dalam kerajaan. Ketua dipandang sebelah mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Marzuki berkata, ketika bersembang santai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau pernah bertanya sama ada Muhyiddin akan bersara kerana melihat kesukaran dihadapinya.

Ketika itu, beliau mendakwa beberapa orang kanan Bersatu tidak lagi hormat kepada Muhyiddin dan parti tiada wang, manakala Pas  belum membuat keputusan hendak bekerjasama dengan Bersatu ataupun UMNO.

“Saya beritahu beliau, kalau Pas memilih untuk bekerjasama dengan UMNO, maka Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mungkin berkubur pada PRU15.

“Beliau jawab dengan tenang kepada saya. Beliau kata kalau memikirkan mengenai dirinya, sudah lama beliau berhenti. Itu pilihan yang paling mudah untuk beliau dan paling disukai oleh ahli keluarganya.

“Namun sebagai ketua parti, beliau ada tanggungjawab. Takkan beliau hendak berundur tatkala bala tenteranya sedang menghadapi perang. Itu akan memberikan kekalahan moral kepada PN sebelum turun berjuang di medan pilihan raya umum (PRU),” katanya.

Berikutan itu, Marzuki berkata, mereka secara bersama menyimpulkan untuk menjadikan PRU15 sebagai percubaan akhir yang menentukan kemenangan atau kekalahan parti.

“Namun, berundur tidak sekali. Biar putih tulang, jangan putih mata. Ditakdirkan Allah SWT, Pas memilih untuk bersama PN dan gelombang ‘Abah’ menjadi fenomena yang membantu kemenangan PN.

“Hasilnya, PN menang 74 kerusi Parlimen pada cubaan kali pertamanya bertanding pada PRU. PN bukan parti nyamuk yang akan hilang sekelip mata seperti tanggapan sesetengah orang.

“Muhyiddin sebagai Pengerusi PN kemudiannya telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, nasib masih tidak menyebelahi beliau. Takdir Ilahi telah menentukan beliau bukan PM ke-10,” katanya.

Berikutan kegagalan PN membentuk kerajaan selepas PRU15, beliau berkata, terdapat suara menyalahkan Muhyiddin dan ketegasannya mula dipersoalkan kerana mempertahankan prinsip tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Apa lagi di luar parti. Untuk mematikan hayat politiknya, beliau didakwa di mahkamah atas kesalahan yang tidak diketahui dalam undang-undang,” katanya.

Beliau memberitahu, kemenangan besar PN dan PRN 2023 dan tahap populariti Muhyiddin yang paling tinggi dalam kalangan pemimpin PN tidak menghentikan gerakan menjatuhkan beliau.

Katanya, bagi kumpulan yang ingin menjatuhkan, Muhyiddin dilihat sebagai liabiliti. kepada PN.

“Sejak itu, semakin banyak maklumat yang saya terima tentang gerakan untuk menikam beliau dari belakang. Di depan beliau disanjung tetapi di belakang pedang yang sedang diasah untuk dihunus apabila tiba masanya,” katanya.

(Foto FB Marzuki Mohamad)

Related posts

Leave a Comment