Malaysia teruja rai kedatangan Trump?

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Sambutan meriah terhadap Donald Trump di KLIA semalam memberi gambaran seolah-olah Malaysia begitu teruja meraikan kedatangan tokoh yang secara terbuka bersekongkol dengan rejim Zionis Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Presiden Bersatu  Muhyiddin Yassin berkata, sambutan penuh kemeriahan, keceriaan dan simbolik yang berlebihan itu menimbulkan persoalan besar apakah Malaysia kini menilai maruah diplomatik berdasarkan status tetamu, bukan prinsip kemanusiaan?

“Seperti yang saya telah peringatkan di Dewan Rakyat tempoh hari, tidak wajar Trump diberikan sambutan meriah di bumi Malaysia tatkala rakyat Palestin sedang bermandi darah dan mati kebuluran di bumi Gaza.

Apatah lagi tindakan Perdana Menteri yang turut menari bersama Trump amat mengguris hati seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri sering berapi-api mengutuk kekejaman Israel dan konco-konconya. Namun, semangat itu tiba-tiba luntur digantikan dengan senyuman lebar dan sambutan hangat terhadap individu yang menyokong rejim Zionis Israel.

Katanya, Trump ialah simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang melindungi kekejaman rejim Zionis Israel dan menyambut tokoh seperti ini dengan keghairahan melampau adalah amat memalukan Malaysia.

Nnn

Related posts

Leave a Comment