KUALA LUMPUR 27 Okt . – Video tular yang memaparkan aksi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menari semasa tiba di KLIA semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan menarik lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform.
Menurut Penasihat Trump, Alex Bruesewitz, video itu mempunyai daya tarikan yang kuat sehingga meningkatkan populariti dalam media sosial.
“Video yang dirakam oleh @margomartin memaparkan Presiden Trump menari di Malaysia melepasi satu juta tanda suka dalam Instagram @TeamTrump dan meraih 21.5 juta tontonan. Video itu turut menerima 17.1 juta tontonan menerusi Facebook dan 9.3 juta di TikTok.
“Trump ialah pemimpin dunia dan raja media sosial,” katanya dalam hantaran X hari ini.
Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden, Margo Martin yang menyiarkan semula hantaran Bruesewitz berkata klip itu menunjukkan Trump berinteraksi mesra dengan delegasi dan turut menari mengikut rentak muzik tempatan.
“Lapan tahun bersama dengan Presiden Trump, dan mungkin inilah video kegemaran saya setakat ini,” katanya.
Presiden AS itu tiba di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam dan berlepas pulang pada 10.06 pagi ini, menandakan tamatnya lawatan julung-julung kali beliau ke Malaysia dan penyertaan pertama dalam Sidang Kemuncak ASEAN sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lalu.
Trump adalah Presiden AS ketiga dalam sejarah melawat Malaysia, selepas Lyndon B Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015.
Malaysia memegang tampuk kepengerusian ASEAN tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Nnnn
