KUALA LUMPUR 27 Okt. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mempersoalkan ketelusan perjanjian perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika yang didakwa dimeterai secara tergesa-gesa.
Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, tanpa pendedahan dokumen penuh dan semakan audit bebas, perjanjian ini berisiko menjadi alat dominasi ekonomi yang menggadaikan kepentingan industri tempatan dan pekerja Malaysia.
Justeru PUTRA dalam satu kenyataan hari ini menuntut agar semua perjanjian yang melibatkan kedaulatan ekonomi negara dinilai semula secara terbuka dan profesional.
Dalam pada itu, Putra memandang serius berhubung tindakan kerajaan menyambut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur.
“Tindakan kerajaan menyambut tokoh yang sedang bergelut dengan krisis legitimasi di negaranya sendiri menimbulkan persoalan besar tentang prinsip dan maruah diplomatik Malaysia.
Ketika rakyat Amerika sendiri menolak dasar pentadbiran beliau melalui protes besar-besaran dan penutupan kerajaan, Malaysia mengangkat individu yang rekodnya sarat dengan dasar perkauman dan retorik yang memecahbelahkan,” katanya.
PUTRA menegaskan bahawa hubungan luar negara mesti berlandaskan prinsip amanah, ihsan dan keadilan sejagat.
Katanya, hubungan luar negara mesti berlandaskan prinsip amanah, ihsan dan keadilan sejagat dan Malaysia tidak boleh menjadi pentas sambutan kepada tokoh yang dasar luar dan dalam negerinya bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan hak asasi.
“Kami menyeru agar semua pihak, khususnya kerajaan, tidak mengorbankan prinsip demi hubungan luar yang tidak telus dan tidak beramanah. Malaysia mesti bangkit sebagai negara berprinsip, bukan sekadar pemain pasif dalam geopolitik serantau,” katanya.
Nnnn
