Ibrahim Ali jawab sindiran Rafizi

KUALA LUMPUR 23 Okt.  – Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bukan bumbung baharu tetapi asas baharu untuk rakyat kembali berteduh daripada politik usang dan kepalsuan janji Madani, kata Presiden Putra, Ibrahim Ali.

Beliau berkata, IPR yang melibatkan 11 parti politik di luar kerajaan bukan projek politik peribadi, tetapi payung penyatuan, supaya suara pembangkang tidak terpisah, dan rakyat ada harapan baru yang bebas daripada percaturan gila kuasa.

“Selama dua tahun Madani berkuasa, rakyat makin terhimpit, harga barang naik, gaji tak cukup, hutang negara melambung. Kalau itu rumah lama yang Rafizi (Rafizi Ramli) nak betulkan, maka sampai kiamat pun tak siap,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR itu yang menyifatkan adalah lebih baik pembangkang memperbetulkan dahulu gabungan sedia ada sebelum membentuk gabungan baharu.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi turut mempersoalkan singkatan IPR yang digunakan bagi gabungan parti politik itu yang sama dengan singkatan Inisiatif Pendapatan Rakyat.

“Sekarang siap ada gabungan atas gabungan. Entah siapa ketuai siapa pun dah susah nak bezakan. Baik betulkan rumah lama dulu sebelum nak tambah bumbung baru,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya.

Sebanyak 11 parti politik di luar blok kerajaan dalam satu mesyuarat meja bulat baru-baru ini sepakat menamakan gabungan mereka sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dengan tema perjuangan ‘Selamatkan Malaysia’.

Diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu ia turut melibatkan pemimpin Pas, Gerakan, MIPP, Berjasa, Pejuang, Putra, Muda, MAP, IMAN, Urimai

Menurut Ibrahim tidak ada salahnya rumah baharu atau rumah lama.

“Rafizi kata elok betulkan rumah lama sebelum tambah bumbung baru. Apa masalah dengan rumah lama? Kalau nak tambah rumah baharu apa masalahnya kalau mampu. Sama juga kalau nak tambah isteri asal tak mati pucuk dan adil.

Masalahnya, rumah Rafizi sendiri yang dia duduk hari ini pun dah bocor teruk, siling reput, lantai retak, paip berkarat dan tandas pecah sehingga bau busuk. Tapi dia nak nasihat orang lain pula pasal rumah,” katanya.

Ibrahim juga menasihatkan Rafizi bahawa, dalam politik, jangan sekadar menjadi tukang cat yang hanya pandai mewarnakan dinding sebaliknya perlu belajar menjadi tukang bina yang sanggup turun bercampur lumpur.

“IPR ialah binaan baharu untuk rakyat Malaysia, akan siap dan boleh di duduki apabila tukang rumah benar-benar mahir dan pandai, ikhlas dan jujur, bersih dan berintegriti,” katanya.

Beliau juga menasihatkan Rafizi melihat dahulu keadaan rumah sendiri – Pakatan Harapan (PH).

“Di dalamnya pun penuh pergaduhan, ada yang tukar bilik, ada yang bakar dapur, ada yang cabut paip gas. Madani sekarang bukan rumah perpaduan, tapi rumah tumpangan politik,” katanya yang turut menyarankan Rafizi meninggalkan’rumah’ itu.

Ibrahim juga menjelaskan IPR bukan ditubuhkan untuk lawan sesiapa tetapi untuk menyusun semula kekuatan rakyat yang muak dengan sandiwara kerajaan Madani yang luar tabii.

“Rafizi boleh pandai bercakap, tapi rakyat dah tahu, orang yang banyak cakap biasanya yang paling kurang buat kerja.

Kalau Rafizi jujur, dia akan akui, rakyat dah tak percaya pada retorik “reformasi ekonomi” yang dia jual. Dia sibuk kira “data”, tapi tak tahu baca hati rakyat. Dia pandai kira “graf”, tapi tak reti ukur “maruah bangsa”,” kata Ibrahim.

Mengenai nama IPR yang sama singkatannya dengan inisiatif beliau terdahulu, Ibrahim berkata: Kalau dia rasa tercabar sebab nama tu lebih hidup di tangan orang lain, itu masalah ego, bukan masalah rakyat. Yang penting bukan singkatan, tapi semangat di belakangnya,”.

Related posts

Leave a Comment