Kos haji kekal, TH tanggung bantuan kewangan RM210 juta

KUALA LLUMPUR 22 Okt. – Lembaga Tabung Haji (TH), mengekalkan kos keseluruhan untuk menunaikan haji musim 1447H/2026M pada kadar RM33,300 untuk seorang jemaah Muassasah, sama seperti musim haji yang lalu.

Ini bermakna kos untuk menunaikan ibadat haji bagi jemaah Muassaah tidak meningkat bagi tiga tahun berturut-turut walaupun berdepan dengan persekitaran kos di Tanah Suci yang terus meningkat.

TH dalam kenyataan turut mengumumkan, bayaran haji untuk semua kumpulan kekal dengan TH bakal menanggung RM210 juta Bantuan Kewangan Haji bagi musim haji 1447H/2026M.

Untuk rekod sejak Bantuan Kewangan Haji diperkenalkan pada 2001, jumlah terkumpul bantuan yang ditanggung oleh TH telah mencecah lebih RM2.72 bilion dalam tempoh 25 tahun.

Bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang menerima bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, kadar Bayaran Haji yang dikenakan hanyalah 45% daripada Kos Haji penuh selepas mengambil kira Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 dan bantuan Kerajaan Madani sebanyak RM1,000 seorang.

Bantuan dari TH dan Kerajaan Madani adalah lebih separuh (iaitu 55 peratus) daripada Kos Haji.

Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada Kos Haji keseluruhan.

Manakala jemaah Muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh haji sebanyak RM33,300 seorang.

Sementara itu, surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1447H/2026M akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober 2025.

Bagi mereka yang tidak menerima surat tawaran kerana belum tiba giliran, TH akan membuka peluang merayu bermula 3 November 2025 melalui platform THiJARI dengan mengambilkira beberapa kriteria dalam memproses rayuan.

Ini termasuk tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan di TH dan kekerapan permohonan rayuan.

Bakal haji juga diingatkan untuk mencukupkan simpanan di TH sekurang-kurangnya kepada RM15,000 bagi melayakkan diri untuk menerima tawaran haji atau dalam membuat permohonan rayuan haji, selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan.

TH menasihatkan bakal jemaah untuk segera mengemaskini maklumat peribadi agar tidak terlepas dari peluang menunaikan haji dan memeriksa giliran melalui saluran digital THiJARI atau hadir ke cawangan terdekat.

Dalam pada itu, Pengerusi TH Abdul Rashid Hussain berkata, TH berkeyakinan dapat terus memberikan tahap perkhidmatan yang cemerlang kepada jemaah.

“Kami berbangga dengan pencapaian anugerah “Diamond Award” Labaytum pada musim lepas yang turut mengharumkan nama Malaysia dan kami akan berusaha untuk terus mengekalkan tahap perkhidmatan tinggi yang sentiasa diharapkan,” katanya.

Bagi musim haji 1447H/2026M, TH telah membuat persediaan untuk menetapkan Kos dan Bayaran Haji lebih awal.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia atas sokongan beliau terhadap usaha kami. Kami juga amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mengekalkan bantuan RM1,000 bagi setiap jemaah B40,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, TH dapat mengekalkan kos haji melalui langkah strategik melibatkan tempahan awal dan kontrak penyewaan jangka panjang bangunan penginapan untuk melindungi jemaah haji daripada kesan inflasi di Makkah dan Madinah.

Beberapa bangunan penginapan yang baharu dengan kemudahan moden telah dikenalpasti untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah haji.

“Disamping itu, TH juga telah memeterai kontrak penerbangan selama lima tahun bagi mengawal daripada ketidaktentuan harga,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment