ISLAMABAD – Selepas seminggu pertempuran sengit di sempadan yang telah meragut puluhan nyawa dan mencederakan ratusan yang lain, Pakistan dan Afghanistan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta ketika rundingan damai di Doha, Qatar.
Ini merupakan keganasan terburuk antara kedua-dua negara sejak Taliban merampas kuasa di Kabul pada 2021.
Kementerian Luar Qatar berkata, gencatan senjata itu dipersetujui dalam pusingan rundingan yang dimediasi oleh Qatar dan Turki semalam dan kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengadakan mesyuarat susulan dalam masa terdekat bagi memastikan kelestarian gencatan senjata dan mengesahkan pelaksanaannya.
Rundingan damai di Doha diketuai oleh Menteri Pertahanan Afghanistan, Mullah Muhammad Yaqoob, dan Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif.
Kementerian Luar Pakistan berkata, rundingan itu akan menumpukan kepada langkah segera untuk menamatkan keganasan merentas sempadan terhadap Pakistan yang berpunca dari Afghanistan dan memulihkan keamanan serta kestabilan di sepanjang sempadan Pakistan-Afghanistan.
Pertempuran darat dan serangan udara Pakistan merentasi sempadan sepanjang 2,600 kilometer itu tercetus selepas Islamabad menuntut Kabul mengawal militan yang dituduh melancarkan serangan dari tempat perlindungan di Afghanistan.
Pakistan menafikan dakwaan Taliban yang menuduh tentera Pakistan menyebarkan maklumat salah mengenai Afghanistan sebaliknya mendakwa kumpulan itu, yang berjuang untuk menggulingkan kerajaan Pakistan dan menggantikannya dengan sistem pemerintahan Islam yang ketat, dilindungi di Afghanistan.
Pada Jumaat, satu serangan nekad berhampiran sempadan telah mengorbankan tujuh askar Pakistan dan mencederakan 13 yang lain.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid, mendakwa Pakistan telah melakukan serangan udara di Afghanistan beberapa jam selepas gencatan senjata dilanjutkan pada Jumaat, dengan serangan itu menyasarkan orang awam.
Kabul bagaimanapun mengarahkan pejuang mereka untuk menahan diri daripada membalas serangan demi menghormati pasukan perunding.
Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar, berkata Pakistan menyerang kem militan Islamis yang dikenalpasti di sepanjang kawasan sempadan, dan menafikan serangan itu menyasarkan orang awam.
Nnnn
