WASHINGTON – Ratusan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di seluruh Amerika Syarikat (AS) semalam dalam perhimpunan yang dinamakan “No Kings” (Tiada Raja-Raja) bagi mengecam kecenderungan autokratik dan apa yang mereka sifatkan sebagai rasuah berleluasa oleh Presiden AS, Donald Trump.
Penganjur perhimpunan menjangkakan jumlah kehadiran keseluruhan boleh mencecah jutaan orang menjelang akhir protes.
Lebih 2,600 perhimpunan telah dirancang di bandar-bandar utama, pekan kecil, dan pinggir bandar, mencabar agenda yang dipacu oleh Trump yang dilihat telah mengubah kerajaan dan melanggar norma demokrasi dengan pantas sejak beliau memegang jawatan.
Leah Greenberg, pengasas bersama Indivisible, sebuah organisasi progresif yang mengetuai perancangan acara terbabit berkata: “Tiada yang lebih bersifat Amerika daripada kenyataan, ‘Kami tiada raja’ dan menggunakan hak kami untuk membantah secara aman,”.
Di New York, Jabatan Polis New York (NYPD) mengesahkan lebih 100,000 orang berhimpun secara aman di lima daerah tanpa sebarang penangkapan berkaitan protes dilaporkan.
Protes itu mencerminkan rasa tidak senang yang semakin memuncak dalam kalangan rakyat AS, terutamanya di pihak kiri ideologi.
Mereka membantah beberapa tindakan Trump, termasuk pendakwaan jenayah terhadap musuh politiknya, tindakan keras imigresen secara ketenteraan, serta penghantaran Pengawal Kebangsaan ke bandar-bandar AS.
Trump sebelum ini berkata langkah itu bertujuan memerangi jenayah dan melindungi ejen imigresen.
Selain itu, kemarahan juga timbul ekoran tindakan pentadbirannya yang pantas melantik penyokong setia yang kurang berpengalaman ke dalam jabatan pentadbiran dan usaha memberi tekanan kepada media berita, firma guaman, dan institusi pengajian tinggi.
Pergerakan “No Kings” ini mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh Demokrat termasuk Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer dan ahli politik progresif seperti Ahli Dewan Rakyat AS Alexandria Ocasio-Cortez.
Mereka berusaha membina momentum selepas protes “No Kings” yang terdahulu pada 14 Jun.
Speaker Dewan Rakyat Mike Johnson, dari Republikan, mengulangi pandangan lazim dalam partinya, melabelkan protes “No Kings” sebagai “perhimpunan benci Amerika.”
Nnn
