GENEVA – Pembinaan semula Semenanjung Gaza memerlukan pembiayaan AS$70 bilion, demikian menurut Wakil Khas Program Bantuan kepada Rakyat Palestin di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Jaco Cilliers.
UNDP bagaimanapun tidak dapat memberikan anggaran tempoh masa bagi kerja-kerja pembinaan semula itu kerana ia bergantung kepada jumlah pembiayaan yang diterima, namun Cilliers berkata proses terbabit boleh mengambil masa “berdekad-dekad”.
Menurut anggaran UNDP, sekurang-kurangnya 50 juta tan runtuhan bersamaan 13 kali ganda saiz Piramid Giza yang perlu dibersihkan di Gaza, dan mayat rakyat Palestin yang terkorban mungkin ditemukan di bawah runtuhan.
Beberapa negara Eropah, Arab, Kanada dan Amerika Syarikat dilapor bersedia membiayai usaha pemulihan Gaza itu.
“Kami menerima maklum balas positif daripada rakan antarabangsa, termasuk negara Eropah dan Kanada, selain perbincangan turut dijalankan dengan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media di New York.
Data Pusat Satelit PBB (UNOSAT) menunjukkan 83 peratus bangunan di Bandar Gaza rosak atau musnah, manakala UNDP setakat ini telah membersihkan 81,000 tan runtuhan.
Nnn
