Sifar kes tempatan di Singapura

SINGAPURA 10 Julai – Tiada kes baharu Covid-19 dalam kalangan masyarakat dilaporkan hari ini kecuali enam kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), tiga daripada kes import itu dikesan sebaik tiba di Singapura manakala yang lainnya sakit ketika menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sejurus tiba di sini.

Setakat ini, Singapura melaporkan jumlah terkumpul kes Covid-19 sebanyak 62,684.  

Sementara itu, MoH dalam kenyataan malam tadi memaklumkan jumlah kes baharu dalam masyarakat merosot daripada 46 pada minggu sebelumnya kepada 21 pada minggu lalu.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat, bagaimanapun, meningkat daripada enam pada minggu sebelumnya kepada sembilan minggu lalu.

Ketika ini terdapat 22 kluster jangkitan aktif yang mempunyai antara tiga dengan 94 kes.

Sebanyak 85 pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan baik dan di bawah pengawasan.

Terdapat lapan kes serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan dua berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

“Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah jangkitan serius apabila seseorang dijangkiti,” kata MoH.

Menurut MoH lagi sepanjang 28 hari lalu, 23 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau sudah meninggal dunia di mana 20 daripada mereka tidak divaksinasi, lagi tiga sudah menerima satu dos suntikan vaksin dan tidak satu pun yang menerima vaksinasi lengkap.

Related posts

Leave a Comment