PUTRAJAYA 8 Okt. – Kerajaan sedang meneliti kaedah pemberian tambahan kuota BUDI MADANI RON95 (BUDI95) lebih tinggi dengan lebih tepat kepada pemandu e-hailing dan p-hailing sepenuh masa yang menggunakan kenderaan sendiri bagi menjana pendapatan sendiri.
Menteri Ekonomi, Amir Hamzah Azizan, berkata kelayakan di bawah program BUDI95 akan ditetapkan berdasarkan data penggunaan kenderaan dan corak perjalanan sebenar yang diperoleh daripada syarikat e-hailing melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Insya-Allah, sebelum 15 Oktober ini, semua pemandu e-hailing dan p-hailing yang layak akan menerima manfaat BUDI95,” katanya pada Majlis PeluncuranTinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, di sini, hari ini.
Amir Hamzah yang juga Menteri Kewangan II berkata, bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, kelayakan kuota BUDI95 akan dinaikkan berbanding pengguna biasa, memandangkan mereka menggunakan petrol dalam jumlah yang lebih besar bagi tujuan pekerjaan harian.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan sedang meneliti cadangan menambah kuota subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI95 kepada pemandu e-hailing, p-hailing, teksi dan pengusaha bot nelayan di Sabah, Sarawak serta beberapa kawasan Semenanjung.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kewangan meneliti perkara itu dengan segera bagi memastikan golongan berkenaan turut menerima kuota tambahan subsidi untuk tujuan aktiviti mereka.
Amir Hamzah menjelaskan, pelaksanaan BUDI95 bukan sahaja bertujuan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, tetapi juga sebahagian daripada reformasi fiskal kerajaan bagi mengurangkan ketirisan subsidi dan mengoptimumkan perbelanjaan negara.
“Langkah ini memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak menerima manfaat. Kita dapat menjimatkan hasil negara dan menyalurkannya semula kepada perkara yang lebih penting seperti pembinaan hospital, sekolah serta pengukuhan jaringan perlindungan sosial,” katanya.
Beliau berkata, reformasi fiskal yang dilaksanakan juga membolehkan kerajaan meningkatkan hasil tanpa menjejaskan disiplin kewangan negara, di samping memperkukuh bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Apabila hasil meningkat, kita boleh menambah bantuan rakyat tanpa perlu menaikkan cukai atau menjejaskan keupayaan fiskal negara,” jelasnya.
Mulai 30 September lalu, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak, menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi BUDI95.
Semua rakyat yang layak menerima siling bulanan RON95 bersubsidi hingga300 liter sebulan. Penetapan berkenaan adalah berdasarkan dapatan kajian oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).
Peringkat ketiga pelaksanaan BUDI95 ini menyusul kejayaan peringkat pertama pada 27 September lalu, membabitkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera. Peringkat kedua pula membabitkan penerima STR daripada golongan B40.
Nnnn
