Kor Ming jelas isu letak jawatan

SEPANG 12 Julai – Selepas didesak pelbagai pihak supaya meletak jawatan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tampil menjelaskan pendiriannya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri jika Najib Razak dilepaskan tanpa hukuman setimpal.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu menegaskan, beliau berpegang teguh kepada prinsipnya dan pada masa yang sama meminta orang ramai merujuk semula kenyataan penuhnya ketika wawancara eksklusif bersama Oriental Daily sebelum ini.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata tidak teragak-agak menjadi individu pertama melepaskan jawatan menteri jika Najib dibebaskan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN berkenaan.

Pada wawancara itu, beliau mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat untuk membebaskan Najib lebih awal menerusi slogan ‘UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah’, yang disifatkannya sebagai garis merah parti itu.

Kor Ming menerusi satu kenyataan berkata, pendiriannya sebagai seorang peguam adalah konsisten dalam memastikan kewibawaan sistem kehakiman negara sentiasa dipertahankan.

“Jika Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion boleh dilepaskan tanpa menjalani hukuman setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini sudah digadai.

Malah, prinsip kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati,” katanya.

Kor Ming menjelaskan, kesediaannya untuk melepaskan jawatan itu dibuat demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara dan perkara itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan soal peribadi.

“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota jemaah menteri.

“Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia satu soal prinsip utama,” katanya.

Mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN)Johor, beliau meminta semua pihak menghormati proses demokrasi yang berlangsung.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan dua pertiga majoriti, namun mengingatkan kemenangan itu satu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul dengan penuh integriti.

Timbalan Pengerusi DAP itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi, petugas dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun kami tidak menang kali ini, esok masih ada. PH tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat serta berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment