GAZA – Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, kini melebihi 67,000 orang.
Dalam satu kenyataan, pihak berkenaan memaklumkan seramai 67,074 orang terbunuh dan 169,430 lagi cedera sejak konflik berkenaan meletus.
Manakala dalam tempoh 24 jam lepas, dua kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, menjadikan jumlah kematian yang dikaitkan dengan kekurangan makanan seramai 459 orang, termasuk 154 kanak-kanak.
Tentera udara Israel terus melancarkan siri serangan udara besar-besaran ke atas Bandaraya Gaza walaupun sebelum ini membayangkan pengurangan operasi ketenteraan susulan gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan pengeboman dan persetujuan Hamas membebaskan semua tawanan.
Tentera Israel turut dilaporkan melepaskan tembakan ke arah puluhan orang awam yang cuba bergerak dari selatan Gaza ke bahagian utara Semenanjung itu melalui koridor Netzarim berhampiran Rashid Street.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, tentera Israel memberi amaran kepada penduduk agar tidak kembali ke kawasan di utara Wadi Gaza, menyifatkannya sebagai “masih zon pertempuran berbahaya”, dan menggesa orang awam untuk menggunakan Rashid Street untuk bergerak ke selatan.
