ISTANBUL – Aktivis antarabangsa yang mengikuti misi Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza mendakwa mereka diperlakukan dengan ganas dan ‘seperti binatang’ selepas diculik di perairan antarabangsa.
Wartawan Itali, Lorenzo D’Agostino, yang menaiki flotila berkenaan bagi membuat liputan misinya, berkata mereka diculik di perairan antarabangsa ketika berada 88 kilometer dari Gaza.
“Ia dua hari penuh derita yang kami lalui dalam penjara. Kami kini bebas hasil tekanan masyarakat antarabangsa yang menyokong Palestin,” katanya yang tiba di sini selepas diusir dari Israel.
Agostino menyifatkan ketibaan di Pelabuhan Ashdod sebagai penuh permusuhan, dengan kehadiran Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir.
“Ben-Gvir berada di luar tempat ketibaan di Pelabuhan Ashdod ketika kami tiba. Beliau seolah-olah memastikan kami dilayan seperti pengganas kerana beliau menganggap kami pengganas.
“Jadi saya bernasib baik kerana dapat keluar sejurus sebelum Ben-Gvir tiba,” kata Agostino.
Katanya, mereka turut dilayan dengan mata ditutup, digari dengan ketat, pakaian tidak mencukupi serta dibiarkan dalam keadaan suhu sejuk beku di dalam van berhawa dingin selama berjam-jam.
Beliau turut menekankan layanan terhadap aktivis iklim Sweden Greta Thunberg yang turut berada di atas flotila sama.
“Greta Thunberg, seorang wanita yang berani, baru berusia 22 tahun. Beliau dihina, dibalut dengan bendera Israel dan dipamerkan seperti trofi,” katanya.
Nnn
