DUN Pulau Pinang bubar awal?

PETALING JAYA 11 Okt. – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan memutuskan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan atau tidak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata perkara itu yang dicadangkan DAP Pulau Pinang dibahaskan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) malam ini dan akan dibawa ke Majlis Presiden PH untuk dimuktamadkan esok.

Beliau berkata terdapat permintaan daripada DAP Pulau Pinang supaya DUN di negeri itu dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Katanya DAP Pulau Pinang sudah menghantar cadangan ini untuk diberi pertimbangan semula selepas menerima pandangan orang ramai yang mahukan pilihan raya diadakan secara serentak.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat CEC itu, Loke berkata sebagai parti yang mendengar suara rakyat, ada pelbagai alasan diberikan oleh orang ramai di Pulau Pinang yang lebih cenderung untuk pilihan raya serentak.

Beliau berkata, setiap negeri mempunyai keadaan berlainan dan dalam hubungan ini Selangor dan Negeri Sembilan berbeza dengan keadaan di Pulau Pinang,

“Rata rata menyatakan bahawa mereka  tidak mahu keluar dua kali (mengundi), itu salah satu pandangan daripada rakyat Pulau Pinang.

“Ini faktor yang perlu diambil kira sebab pilihan raya bukannya berkenaan parti politik tetapi adalah berkenaan pengundi, mereka yang akan membuat keputusan, kita menawarkan diri tetapi akhirnya mereka buat keputusan,” katanya

Sementara itu, Loke berkata, semua jawatankuasa DAP peringkat negeri diberikan tempoh sehingga Isnin depan (17 Oktober) untuk mengemukakan senarai calon masing-masing kepada pimpinan pusat.

Senarai itu akan disemak dan dipertimbangkan oleh jawatankuasa lima orang yang terdiri daripada Loke, Pengerusi Lim Guan Eng, Timbalannya Govind Singh Deo dan dua Naib Pengerusi, M. Kulasegaran dan Nga Kor Ming.

Related posts

Leave a Comment