KOTA KINABALU 2 Okt. – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), bukan lagi anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas kedua-duanya memutuskan untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, yang mengesahkan demikian berkata hasrat itu disuarakan Presiden kedua-dua parti berkenaan pada Mesyuarat Majlis Presiden GRS malam tadi yang dipengerusikan Ketua Menteri, Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS, di Sri Gaya di sini..
Menurut Masidi, agenda utama mesyuarat selama hampir dua jam itu ialah membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS untuk menghadapi PRN17, termasuk rundingan agihan kerusi antara GRS dengan Pakatan Harapan (PH).
Mesyuarat itu turut mendengar hasrat dibawa Presiden STAR, Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP, Yong Teck Lee, untuk parti terbabit bertanding sendiri pada PRN kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi.
“Mereka memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi yang akan dimuktamadkan antara GRS dengan PH. Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi oleh calon-calon dari PH,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Masidi berkata, Hajiji mengingatkan semua parti komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama yang diumumkan bersama PH sebelum ini.
Hajiji juga menegaskan atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti dengan semua calon daripada gabungan itu akan menggunakan lambang sama, iaitu lambang GRS.
Setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, beliau berkata, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing, dianggap keluar daripada GRS dan calon dari parti terbabit tidak lagi mewakili GRS.
Katanya, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), bersama presiden parti-parti komponen lain membabitkan Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS), menghormati keputusan STAR serta SAPP untuk bertanding secara solo pada PRN17.
“Dengan keputusan dan tindakan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat.
“Presiden STAR serta Presiden SAPP turut menyatakan mereka menghormati pendirian parti-parti komponen lain yang memilih untuk terus kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH dalam menghadapi PRN17,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai mesyuarat itu, Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat berkata, mesyuarat berlangsung dalam suasana muhibah, mesra, ikhlas dan berterus terang.
Katanya, semua pimpinan parti yang hadir akur dengan keputusan dibuat secara musyawarah dan tetap meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang sihat dan matang.
“GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan Sabah,” katanya.
NNN
