SEPANG 2 Okt. – Anwar Ibrahim akan menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, untuk menuntut campur tangan segera Washington dalam usaha membebaskan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat Malaysia, yang ditahan tentera Israel.
Perdana Menteri berkata setakat petang ini, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Turkiye, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Qatar bagi memohon dukungan mereka dalam usaha mendesak pembebasan sukarelawan serta aktivis Malaysia yang ditahan.
“Saya dan pasukan juga berhubung rapat dengan beberapa rakan lain, termasuk Setiausaha Negara AS, bagi menuntut campur tangan serta tindakan segera tanpa sebarang kelewatan,” katanya melalui rakaman video yang dimuat naik dalam Facebook, hari ini.
Beliau menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri apabila hak dan maruah rakyat negara ini diinjak.
“Apa yang didakwa (Israel) ‘kesalahan’ mereka (misi GSF) adalah kerana nilai keprihatinan dan atas prinsip kemanusiaan membantu yang lemah, kelaparan, sakit termasuk dalam kalangan wanita dan anak-anak.
“Kalau itu tidak dapat dilakukan, (maka) nilai kemanusiaan kita tidak berharga sama sekali. Jadi sekali lagi, saya berdoa kepada Allah SWT meminta (agar) kezaliman oleh rejim Israel ini dihentikan dan rakyat negara kita dibebaskan, dan saluran bantuan kemanusiaan ke Gaza serta seluruh bumi Palestin dapat disampaikan tanpa sekatan,” katanya.
Terdahulu, ketika sidang media perkembangan terkini GSF dan usaha membebaskan rakyat Malaysia, Anwar berkata, nilai kemanusiaan tidak berharga sama sekali, jika sukarelawan GSF ditahan ketika cuba menyalurkan bantuan kepada golongan lemah dan kelaparan di Gaza.
Beliau turut menempelak tindakan rejim Zionis menahan sukarelawan misi kemanusiaan GSF susulan keprihatinan mereka membantu golongan yang turut membabitkan wanita dan kanak-kanak itu.
Nnnn
