LOS ANGELES – Kumpulan Houthi di Yaman akan menyasarkan syarikat minyak Amerika Syarikat (AS) termasuk ExxonMobil dan Chevron dengan mengenakan sekatan sebagai tindak balas terhadap sekatan AS ke atas Houthi tahun ini.
Keputusan itu diumumkan oleh Pusat Penyelarasan Operasi Kemanusiaan (HOCC) yang berpusat di Sanaa, sebuah badan yang bersekutu dengan kumpulan disokong oleh Iran.
Menurut badan yang ditubuhkan tahun lalu untuk komunikasi antara tentera Houthi dan pengendali perkapalan komersial itu, ia telah mengenakan sekatan ke atas 13 syarikat AS, sembilan eksekutif dan dua buah kapal.
Langkah itu sebagai tindak balas terhadap sekatan AS ke atas Houthi tahun ini walaupun ada perjanjian gencatan senjata dengan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump di mana kumpulan Yaman setuju menghentikan serangan ke atas kapal-kapal berkaitan AS di Laut Merah dan Teluk Aden.
Exxon enggan mengulas dan Chevron pula tidak memberikan sebarang komen.
Isnin lalu, Houthi mengaku bertanggungjawab menyerang sebuah kapal kargo Belanda di Teluk Aden dengan peluru berpandu yang mencederakan dua anak kapal dan menyebabkan kapal itu terbakar serta hanyut.
Tahun lalu, AS mengimport kira-kira 500,000 tong minyak mentah sehari dan kondensat (hidrokarbon cair yang dihasilkan daripada gas asli) dari negara-negara Teluk melalui Selat Hormuz, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).
Jumlah itu mewakili kira-kira tujuh peratus daripada jumlah import minyak mentah dan kondensat AS, iaitu paras terendah dalam hampir 40 tahun disebabkan peningkatan pengeluaran domestik dan import Kanada.
Nnn
