KUALA LUMPUR 29 Sept. – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan akan membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan Azmin Ali dan Tun Faizal Ismail Aziz yang didakwa sengaja menyebarkan naratif songsang berhubung usaha mengumpul akuan berkanun (SD).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, SD yang ditandatanganinya bersama 119 ketua bahagian lain menyokong isu calon perdana menteri tidak dibincangkan secara terbuka dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), memandangkan ia bersifat sensitif.
“Namun SD yang ditularkan itu tidak sama dengan apa yang kami tandatangani,” katanya dalam sidang media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.
Beliau mendedahkan bahawa Azmin yang juga Setiausaha Agung Bersatu, mengugut beberapa Ketua Bahagian (KB) berhubung isu SD.
Menurut Wan Saiful, ugutan itu berlaku dalam pertemuan di Ibu Pejabat Bersatu pada 19 Ogos lalu yang dihadiri Ketua Bahagian Bersatu Sepang merangkap Setiausaha Bersatu Selangor, Suhaimi Ghazali serta KB Puchong, Shukor Mustafa.
“Dalam pertemuan itu, Azmin memberi amaran bahawa Suhaimi dan Shukor tidak akan mendapat watikah calon untuk bertanding dalam pilihan raya jika mereka tidak menarik balik SD yang kononnya mahu menjatuhkan Presiden.
“Malah saya juga dimaklumkan bahawa Azmin berkata saya sendiri pun tidak akan dicalonkan,” katanya.
Wan Saiful menegaskan, dokumen yang ditandatangani oleh 120 Ketua Bahagian itu tidak pernah bertujuan menggulingkan Presiden, sebaliknya hanya menyatakan pendirian supaya usul yang boleh menjejaskan parti tidak dibawa ke PAT.
“Bagaimana mahu tarik balik sesuatu yang tidak pernah kami tandatangani? SD itu tidak ada satu pun ayat menolak Presiden. Fokusnya hanyalah menolak usul yang boleh membawa mudarat kepada parti,” katanya:
Beliau berkata, Azmin menggunakan pendekatan ugutan dalam isu lain termasuk terhadap bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik ketika PAT baru-baru ini.
“Azmin meminta Tan Sri Rahim membuat aduan disiplin terhadap Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Melaka, Azrudin Idris, dengan amaran tiada sebarang bantuan akan disalurkan ke Melaka bagi menghadapi pilihan raya negeri jika arahan itu tidak dipatuhi,” dakwanya.
Tindakan sedemikian katanya memberi gambaran seolah-olah kuasa menentukan calon dan peruntukan parti berada di tangan Azmin, bukannya Presiden.
Wan Saiful berkata, selain menyebarkan naratif songsang, Tun Faisal selaku Ketua Penerangan pula menjadi ‘kepala batu api’ mengeluarkan kenyataan tanpa menghubunginya untuk mengesahkan kandungan sebenar SD itu.
Tambahnya, beliau akan berjumpa dengan Muhyiddin pada Rabu untuk memberi penjelasan berhubung SD itu, kerana menurutnya presiden Bersatu itu sendiri belum sempat menelitinya.
Khamis lepas, Wan Saiful dilaporkan mengesahkan terdapat usaha mengumpul SD daripada ketua bahagian menjelang PAT pada 9 September lepas, namun ia ‘diputar belit’ pihak tertentu untuk mencemarkan niat sebenar.
Beliau turut mengesahkan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin di bawah Perkara 23 perlembagaan parti itu kerana didakwa mengumpul SD bagi mendesak Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menggantikan Muhyiddin menerajui Bersatu, namun ia ditangguhkan.
Muhyiddin kemudian mendedahkan dalam ucapan dasarnya ketika PAT bahawa terdapat komplot mengumpul tandatangan untuk menggulingkannya.
Bagaimanapun, pada perhimpunan itu, perwakilan sebulat suara mengesahkan beliau sebagai calon perdana menteri parti itu.
Nnn
