SEPANG 29 Sept. – Pecat keanggotaan Bersatu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang didakwa menjatuhkan maruah Bersatu dengan mengeluarkan kritikan terbuka termasuk terhadap Setiausaha Agung Mohamed Azmin Ali.
Ketua Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang, berkata, parti tidak boleh berdiam diri, membiarkan individu seperti Wan Saiful merosakkan imej parti, selain tindakan itu wajar demi menjaga integriti, disiplin dan maruah perjuangan.
Beliau berkata, tindakan Wan Saiful jelas menunjukkan beliau lebih mementingkan publisiti berbanding memperjuangkan nasib rakyat, selain tingkah lakunya hanya menjadi beban kepada parti, mengalihkan perhatian daripada isu rakyat yang jauh lebih penting.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar itu juga mengecam kenyataan biadab dan tidak bertanggungjawab Wan Saiful yang didakwa mengelirukan rakyat.
“Demi kelangsungan parti dan keyakinan rakyat, tindakan tegas termasuk pemecatan adalah satu-satunya jalan keluar. Rakyat sedang menilai. Jika kita gagal bertindak, Bersatu akan dilihat lemah dan berkompromi dengan kelakuan tidak bermoral yang merosakkan perjuangan.
“Kita mesti berani membuat keputusan tepat, walaupun pahit. Pemimpin gagal menunjukkan akhlak, disiplin dan kesetiaan kepada perjuangan bukan hanya melemahkan semangat akar umbi, malah memberi peluru kepada pihak lawan untuk menyerang kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata sebagai wakil rakyat, beliau seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat, membawa hujah berasaskan fakta dan solusi, bukannya mengulang retorik murahan demi kepentingan peribadi.
“Rakyat melihat beliau lebih sibuk mencetuskan sensasi daripada menawarkan sebarang cadangan bernas. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia merugikan parti dalam jangka masa panjang,” katanya
Terdahulu, Wan Saiful dilaporkan mendakwa, Mohamed Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video tular yang didakwa membabitkan dirinya pada 2019 belum diselesaikan.
Biarpun mengakui menerima pelantikan Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung Bersatu ketika diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden, Wan Saiful berkata, situasi itu berubah selepas beliau menerima maklumat baharu, mendakwa siasatan forensik terhadap video membabitkan ADUN Hulu Klang di Sandakan, Sabah itu sebagai tulen.
Tambah Wan Saiful, maklumat yang diterimanya itu membuatkan dirinya menjauhi Mohamed Azmin dan menyebabkan hubungan beliau bersama Setiausaha Agung Bersatu itu dingin.
Klip video tular didakwa membabitkan Mohamed Azmin yang ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebar pada 2019, dipercayai diambil dari hotel di Sandakan, Sabah.
Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas mengumumkan tiada pertuduhan akan dibuat daripada video intim kontroversi dikaitkan dengan Mohamed Azmin itu.
Thomas melalui kenyataan medianya berkata, pakar forensik Amerika Syarikat gagal mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.
nnn
