TASEK GELUGOR 28 Sept. – Kepemimpinan parti di peringkat negeri boleh mencadangkan apa sahaja yang mereka inginkan berhubung pertandingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi keputusannya terletak kepada pimpinan peringkat nasional.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata sama ada wakil negeri, Pemuda mahupun Wanita, pihak berkenaan boleh mengemukakan apa sahaja cadangan atau usul, yang merupakan satu perkara biasa bagi parti politik.
“Itu (cadangan atau usul) perkara biasa dalam mana-mana parti sekali pun, tetapi keputusan akhir akan dibuat oleh kepemimpinan tertinggi di peringkat nasional,” katanya ketika diminta mengulas usul dikemukakan Amanah Johor.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting, di sini, hari ini.
Semalam Amanah Johor dalam konvensyen parti itu mengangkat tiga usul utama dalam mesyuarat perwakilan bahagian termasuk cadangan pertandingan tiga penjuru, isu air serta pelantikan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, usul pertama menyentuh soal kedudukan PH di Johor yang dicadangkan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru.
Katanya, Barisan Nasional (BN) dikhabarkan tidak selesa sekiranya tiada tiga penjuru namun perkara berkenaan hanya boleh dibahas dan dicadangkan tetapi keputusan muktamad tetap ditentukan Majlis Presiden.
Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. PH melalui DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh tiga kerusi dengan Bersatu dua kerusi dan Pas satu, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut memenangi satu kerusi.
Jun lalu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi BN Johor menegaskan PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.
Sementara itu, Mohamad berkata, bagi PRN Sabah pula rundingan kerusi masih lagi berjalan dan cuba mendapatkan beberapa kerusi bagi membolehkan Amanah turut bertanding.
“Buat masa ini (jumlah kerusi) belum diketahui lagi dan kita merancang untuk mendapatkan beberapa kerusi yang mana kita kini dalam proses rundingan,” katanya.
Nnnnnn
