Janji GRS lantik Timbalan Ketua Menteri Cina

KOTA KINABALU 23 Sept.  – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melantik seorang wakil rakyat Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata beliau akan berbuat demikian sekiranya ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat.

“Sekiranya ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik salah seorang daripada mereka sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya pada Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah persendirian Cina dan badan agama bukan Islam di Dewan Hakka di sini malam tadi.

Secara tradisinya, salah seorang daripada timbalan ketua menteri negeri ialah wakil daripada kaum Cina sehingga GRS membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional pada 2020.

Bagaimanapun ketika itu, tiada wakil rakyat Cina yang boleh dilantik sebagai timbalan ketua menteri dan kini disandang oleh Jeffrey Kitingan , Dr Joachim Gunsalam dan Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata peranan dan sumbangan masyarakat Cina yang merangkumi pelbagai bidang dan sektor adalah penting dalam kemajuan serta pembangunan Sabah.

“Dalam sektor swasta, peranan usahawan dan ahli perniagaan Cina berada di tahap tertinggi. Dalam konteks perkhidmatan awam negeri, ramai pegawai keturunan Cina memegang jawatan kanan di kementerian, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sesungguhnya, kita mengiktiraf dan menghargai peranan serta sumbangan masyarakat Cina dalam masyarakat kita,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment