Putra tolak skim Rakan KKM

SEPANG 23 Sept. – Parti Bumiputera Perkasa (Putra) mendakwa skim Rakan KKM yang melibatkan hospital kerajaan terpilih sebagai mengkhianati prinsip asas perkhidmatan awam serta menjadi medan kasta moden.

Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia Nurhafizah Jamalludin berkata, hospital kerajaan sepatutnya menjadi simbol keadilan bukannya kelihatan golongan kaya diutamakan manakala yang miskin dipinggirkan.

Program ini katanya menawarkan perkhidmatan “premium ekonomi” di hospital awam terpilih bagi rawatan elektif pesakit luar, harian dan dalam wad – termasuk penjagaan peribadi, pilihan pakar dan privasi yang dipertingkat.

Katanya, hospital kerajaan wujud untuk memberi rawatan sama rata tanpa mengira status ekonomi rakyat, bukannya dijadikan syarikat yang mengejar keuntungan.

“Dengan pelaksanaan skim ini, kerajaan seolah-olah menjual maruah negara kepada kapitalis kesihatan yang hanya mementingkan laba. Jika beginilah haluan dasar kesihatan negara, apa guna rakyat membayar cukai?,” katanya dalam satu kenyataan sambil menegaskan Putra menolak skim atau program itu.

Beliau berkata, sistem kesihatan yang sedia tenat bakal menanggung beban tambahan susulan skim ini.

“Doktor dan petugas kesihatan sudah lama terbeban, rakyat sudah menderita menunggu rawatan, tetapi kerajaan dengan angkuh menambah luka dengan memperkenalkan konsep “pesakit premium”.

Langkah songsang ini bukan sahaja membunuh semangat kesihatan awam, malah mengancam nyawa rakyat bawahan yang tidak mampu membeli “status premium” di hospital kerajaan.

Putra turut memberi amaran tentang risiko besar rasuah dan salah guna kuasa apabila keuntungan menjadi keutamaan dalam sistem awam, tangan-tangan gelap pasti mengambil kesempatan.

Pegawai kontrak, doktor pelatih dan jururawat muda akhirnya menjadi mangsa, diperah tenaga dalam sistem yang sudah pincang dan sarat kepentingan elit.

Sehubungan itu, Putra memberi amaran jika kerajaan terus mempertahankan skim Rakan KKM, Putra bersama rakyat akan turun ke jalananan bagi mempertahankan hak kesihatan marhaen daripada terus dilelong kepada golongan kaya.

“Kesihatan awam adalah hak rakyat, dan Putra bersumpah tidak akan berdiam diri melihat hospital kerajaan dijadikan padang dagang untuk keuntungan, bukannya medan khidmat untuk rakyat secara adil dan sama rata,” katanya.

Terdahulu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya dapat memanfaatkan kepakaran sedia ada serta kapasiti dalam kemudahan kesihatan awam untuk menawarkan pilihan kepada pesakit bagi mendapatkan rawatan elektif dengan lebih cepat melalui inisiatif ini.

Inisiatif ini bukan untuk kes kecemasan dan bagi kes kecemasan, semua pesakit dilayan sama rata, sama ada golongan B40, M40 atau T20.

“Namun untuk prosedur elektif, pesakit kini mempunyai pilihan. Mereka boleh menunggu enam atau tujuh bulan mengikut giliran biasa atau memilih akses lebih pantas melalui Rakan KKM atau mendapatkan rawatan di kemudahan swasta,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dan IHH Healthcare Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, program ini tidak melibatkan sebarang pembiayaan daripada sektor swasta, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang yakin terhadap keupayaan sistem kesihatan awam.

Dzulkefly berkata, inisiatif Rakan KKM berpotensi menjana pendapatan tambahan yang akan disalurkan semula kepada kemudahan kesihatan awam, seterusnya memberi manfaat langsung kepada sistem kesihatan negara.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment